JEDDAH, Arab Saudi, 9 Feb – Institusi keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembangunan negara dan dalam usaha untuk memelihara kesejahteraan masyarakat , komuniti dan juga negara.
Keluarga yang sihat, harmoni dan kukuh akan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, rakyat yang bersepadu, pembangunan negara yang mantap dan berdaya tahan.
Dari itu, adalah sangat penting untuk setiap negara termasuk Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan dan menggandakan usaha untuk menubuhkan dan membangunkan keupayaan untuk memperkukuhkan institusi keluarga, demi untuk kesejahteraan semua.
Perkara ini ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa berucap pada Mesyuarat Pertama Persidangan Peringkat Menteri mengenai Perkahwinan dan Institusi Keluarga, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini di Conference Palace, Jeddah, Arab Saudi.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, kestabilan institusi keluarga boleh diperkukuhkan dan dipertahankan melalui mewujudkan suasana saling membantu, bekerjasama dan menghormati bukan sahaja di antara sesama ahlinya yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak, tetapi juga komuniti setempat dan semua pihak yang berkepentingan.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengongsikan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberikan penekanan yang tinggi ke atas kepentingan keluarga dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara dan penduduknya.
Ini, katanya, boleh dilihat dari segi kemudahan yang telah disediakan dan juga perundangan yang telah diperkenalkan sejak tahun 1999 yang bertujuan memelihara dan menjaga keselamatan dan memastikan hak orang yang dilindungi juga diberi keutamaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), persidangan yang dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keluarga itu membawa tema ‘Towards an OIC Approach to Empower the Marriage and Family Institution and Preserve its Values’ yang melihat kepentingan untuk mewujudkan satu rangka dan mekanisme yang mengukuhkan peranan negara dalam penyelarasan bersama institusi antarabangsa yang bertanggungjawab bagi keluarga, wanita dan kanak-kanak.
Persidangan berkenaan juga mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh institusi kekeluargaan dan perkahwinan serta cadangan bagi penyelesaian yang mampan dalam menghadapi cabaran pada setiap peringkat. Di akhir persidangan, satu dokumen deklarasi (Jeddah Declaration) telah dikeluarkan yang antara lain menekankan bahawa institusi keluarga adalah tunjang masyarakat dan adalah penyumbang utama dalam usaha-usaha pembangunan dan dari itu menggesa negara-negara ahli untuk meningkatkan usaha untuk melaksanakan dasar-dasar, strategi dan mekanisme-mekanisme yang akan mengukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga, serta memelihara nilai-nilai kekeluargaan.
Persidangan juga menggesa negara-negara ahli untuk mengambil langkah-langkah yang lebih kukuh terhadap keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita dan kanak-kanak, di samping kumpulan-kumpulan seperti warga emas dan warga kurang upaya.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Buruh dan Pembangunan Sosial, Saudi, Dr. Ali bin Nasser al-Ghamis dan dihadiri sama oleh Setiausaha Agung, OIC, Dr. Yousef Ahmed Al-Othaimeen.
Mengiring Yang Berhormat Pehin ke mesyuarat tersebut ialah Pemangku Konsul Agung, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah, Arab Saudi, Pengiran Haji Irman bin Pengiran Haji Othman dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS.