Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Salah satu peranan utama institusi keluarga ialah melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab dan mendepani serta mengatasi pelbagai isu sosial masa kini, terutama sekali ledakan teknologi maklumat dan siber yang telah banyak memberi kesan terhadap cara tarbiah anak-anak.
Sehubungan itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menyediakan persekitaran yang sihat dan islamik dan pendidikan kekeluargaan perlu mendominasi pembentukan sahsiah anak-anak bagi mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.
Perkara berkenaan antara yang diketengahkan oleh Pengarah Pusat Pengajian Fiqh Al-Usrah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilman bin Haji Salim selaku pengerusi Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam pada majlis perasmian bengkel berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, di Dewan Tarbiah, KUPU SB.
Bengkel anjuran KUPU SB melalui Pusat Pengajian Fiqh Al-Usrah itu disertai oleh seramai 91 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian kerajaan dan agensi-agensi swasta serta orang persendirian.
Bengkel berkenaan turut membincangkan beberapa tajuk termasuk ‘Asas Pembentukan Keluarga Muslim’, ‘Pendidikan Agama dalam Membentuk Keluarga Bahagia’, ‘Penerapan Nilai Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah dalam Institusi Keluarga’, ‘Nafkah dan Tanggungjawab Terhadap Anak’, ‘Bimbingan dan Kaunseling Keluarga Muslim’, ‘Pengawalan Penggunaan Media Sosial bagi Kanak-kanak’ dan ‘Cabaran dan Kaedah Pendidikan Kanak-kanak Kontemporari’ yang disampaikan oleh fasilitator terdiri daripada tenaga akademik KUPU SB.
Pada sesi pagi hari pertama bengkel, penolong pensyarah di Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak membincangkan mengenai asas-asas pembentukan keluarga Muslim dan membahaskan perkara-perkara asas pembentukan keluarga menurut syariat Islam.
Beliau menjelaskan bahawa pengetahuan dan pengamalan hak serta tanggungjawab setiap ahli keluarga menjadi paksi keharmonian sesebuah keluarga Islam manakala itu, kejahilan dan pengabaiannya pula merupakan punca keretakan rumah tangga.
Penolong Kanan Profesor Fakulti Pendidikan, Dr Ahmad Yunus pula menerangkan bahawa dalam membina institusi keluarga dan penerapan kemahiran keibubapaan, pelaksanaan pendidikan Islam adalah perlu iaitu melalui penekanan terhadap aspek prinsip, maqasid syariah dan strategi dalam institusi keluarga merangkumi hak dan tanggungjawab ibu bapa, pembentukan sahsiah anak remaja generasi Y dan Z serta cabaran keibubapaan masa kini.
Pada sebelah petang, bengkel diteruskan dengan perbincangan berkaitan penerapan nilai akidah Ahli Sunnah Waljama’ah dalam institusi keluarga yang disampaikan oleh Profesor Madya di Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, Profesor Madya Dr Muhammad Yusof bin Khalid.