Peranan masyarakat dalam tangani isu-isu global

Oleh Izah Azahari
Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Krisis rumit dan bersambung yang dihadapi dunia, sementara pandemik COVID-19 masih memberikan kesan besar dan impak sosioekonominya dapat dirasakan di seluruh dunia, telah dibincangkan oleh Presiden Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama Abdulla Shahid semasa kuliah umum di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Antara yang hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dr Mansurah Izzul Bolkiah.

Turut hadir ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pada kuliah bertajuk Multilateralism and the Role of the Regional Organisations itu, Tuan Yang Terutama juga menyentuh mengenai penindasan yang sedang berlaku di Ukraine yang terus mempunyai kesan kemanusiaan dan menjejaskan ekonomi global.

Perhatian juga dialihkan kepada Palestin, Syria. Yemen, Libya, Ethiopia, Mali dan Afghanistan, di mana konflik-konflik telah menjejaskan dan meragut banyak jiwa.

Menurutnya, konflik-konflik berkenaan berkembang, begitu juga ancaman senjata pemusnahan besar-besaran. Ketika ancaman-ancaman berkenaan menjadi semakin jelas dalam sfera online, krisis iklim juga terus muncul ketika dunia bergelut dengan cabaran-cabaran berkenaan.

Menggambarkannya sebagai ancaman abstrak sama seperti tidak mengendahkan apa yang berlaku di planet kita kini, ujarnya.

“Akibatnya, semua orang menderita dan dunia kita, masyarakat kolektif kita, sedang dicabar,” tambah Tuan Yang Terutama.

Beliau percaya bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk melakukan lebih banyak untuk menangani penderitaan berkenaan dan untuk melindungi mereka yang terdedah.

“Keupayaan kita untuk menangani isu-isu di hadapan kita akan menguji bukan sahaja keazaman dan imaginasi kita, malah kecekapan dan kerelevanan institusi-institusi global kita,” katanya.

YAM Pengiran Anak Dr Mansurah Izzul Bolkiah ketika hadir pada kuliah umum tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan TYT Abdulla Shahid semasa sesi bergambar ramai pada kuliah tersebut di ICC, Berakas.