Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Peranan PBSM bantu keselamatan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2022 serta Majlis Penghargaan Wira Bangsa dan Negara COVID yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir bagi menyampaikan anugerah pada majlis tersebut ialah Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar.

    Di majlis berkenaan, PBSM telah menyampaikan Anugerah Tertinggi BRC Henry Dunant Humanitarian 2022 kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew yang disampaikan oleh Perwakilan ICRC, Geneva, Martin De Boer sambil disaksikan oleh Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff.

    Sementara itu, pada majlis berkenaan, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff telah menyuarakan bahawa PBSM akan tetap kekal relevan sebagai sebuah badan berkanun dengan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan wabak berbahaya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menerima Anugerah Tertinggi BRC Henry Dunant Humanitarian 2022 yang disampaikan oleh Martin De Boer.
    Hajah Noraini semasa menerima Anugerah Distinguishe friends of BRC pada majlis tersebut. – Gambar serahan BIBD
    Hajah Noor Monasalieana @ Suzie, penerima Anugerah Sukarelawan BRC Henry Dunant.

    Terdahulu pada majlis penyampaian anugerah tersebut, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Peranan persatuan dalam membantu Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan COVID merupakan antara cabaran yang paling besar yang pernah dihadapi dalam sama-sama mengembleng tenaga sukarelawan.

    “Walaupun keterbatasan sumber dana dan logistik, ia berhasil dan berjaya bangkit menyediakan dan memberikan perkhidmatan yang berasaskan kepada pemedulian masyarakat dengan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak,” jelasnya.

    Katanya lagi, “Gerakan bersepadu di antara PBSM Negara Brunei Darussalam dengan pasukan sukarelawan terutama sukarelawan Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) sebagai rakan akrab persatuan telah berhasil menyumbangkan hampir 10 ribu bakul makanan kecemasan kepada masyarakat dan pekerja asing yang terkesan oleh pandemik ini dari tahun 2020 hingga negara menuju ke Fasa Awal Endemik pada awal tahun 2022.”

    Menurutnya, bakul makanan kecemasan COVID itu ialah hasil sumbangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan badan-badan korporat lain seperti Hotel Al-Afiah, Syarikat Malar Setia dan lainnya.

    Di samping itu, PBSM juga terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dalam memeduli kemaslahatan masyarakat yang terkesan dan dalam membantu Kementerian Kesihatan menerusi perkhidmatan kecemasan 991 dan Komu-niti Transfer yang telah menyediakan pelbagai perkhidmatan.

    Perkhidmatan yang disumbangkan ini, jelasnya, banyak bergantung kepada sumber tenaga dan penyediaan logistik yang disediakan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Syarikat Kumpulan Adinin juga telah menyumbangkan baucar petrol.

    Anugerah Pemimpin BRC Henry Dunant diberikan kepada Mantan Presiden PBSM, Haji Julaini bin Haji Abdul Latif dan Anugerah Cemerlang BRC Henry Dunant kepada Naib Presiden Sumber Dana dan Projek Khas, Pengiran Haji Mashor bin Pengiran Haji Jaya dan Mantan Presiden PBSM, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

    Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pemimpin BRC Henry Dunant, Anugerah Cemerlang BRC Henry Dunant dan Anugerah Sukarelawan BRC Henry Dunant yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Anugerah Sukarelawan BRC Henry Dunant diberikan kepada Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh. Selain itu, Anugerah Distinguishe friends of BRC telah diberikan kepada Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dan anugerah Rakan Korporat PBSM kepada Progresif Sdn Bhd, Abdul Razak Holdings Sdn Bhd dan MMPB.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...