Peranan sebenar GLC perlu diperjelas

PUTRAJAYA, 13 Mac – Peranan sebenar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd dalam konteks kerajaan baharu perlu diperjelas serta dikaji secara menyeluruh.

Ketika berkongsi pandangannya, pakar ekonomi yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata ini penting kerana setiap GLC mempunyai peranan atau tanggungjawab masing-masing.

Oleh itu, adalah tidak tepat untuk membandingkan peranan GLC yang banyak tanggung jawab sosial dengan syarikat swasta, katanya.

“Apa yang penting ialah kaji peranan GLC (secara) keseluruhannya. Kita ada pihak kerajaan dan swasta serta GLC di tengah-tengah…tapi apakah peranannya?

“Oleh itu, perjelaskan peranan GLC tersebut,” katanya yang pernah menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Ketua Sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negara ketika krisis kewangan pada 1997.

Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (tengah) bersama Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim (kanan) dan moderator, Prof Madya Dr Madeline Berma pada Forum Kelestarian Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor sempena pelancaran Studio Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi di Menara Prisma, kelmarin. – Bernama

Ketika mengulas selanjutnya pada forum berkenaan, Sulaiman yang juga bekas Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM) turut menjadikan TM sebagai contoh GLC yang mempunyai tanggung jawab dan peranan sosial termasuk memberi penajaan pendidikan.

“Banyak tanggung jawab di atas bahu TM. Jadi kalau anda bandingkan Telekom dengan (syarikat telekomunikasi) Maxis, anda sebenarnya membandingkan antara limau dengan epal dan (perbandingan) sebegini tidak boleh.

“TM turut membuat penyelidikan dan pembangunan, sedangkan swasta tidak,” katanya.

Ketika diminta mengulas isu Malaysia Airlines, Sulaiman bagaimanapun enggan memberi komen berhubung hasrat kerajaan untuk mengkaji pelbagai pilihan sebelum membuat keputusan mengenai masa depan syarikat itu.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji pelbagai pilihan yang ada membabitkan masa depan syarikat penerbangan negara itu sama ada menutup, menjual atau membiayainya semula. – Bernama