Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan semua bentuk kejayaan pelajar

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Persatuan-persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SM PDSM) dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), hari ini, telah mengadakan Kolokium Peranan Masyarakat dalam Pembentukan Kejayaan Pelajar yang membawa tema ‘Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja’.

    Pembukaan rasmi kolokium berkenaan, yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu telah disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong selaku tetamu kehormat.

    Beliau dalam ucapannya berharap melalui kolokium seperti itu akan dapat menjadi model dan contoh kepada PIBG di negara ini bahkan persatuan bukan kerajaan yang lain dalam sama-sama berusaha untuk mengasuh dan mendidik anak bangsa Brunei masa kini dan akan dating.

    “Kita berharap melalui pengetahuan dan pengalaman dalam kolokium ini akan dapat diaplikasikan dan juga dijadikan bahan panduan serta asas dalam membentuk nilai-nilai akhlak dan budaya dalam kalangan para pelajar sekolah,” katanya.

    Menurutnya lagi dengan adanya program tersebut akan dapat melahirkan dan meningkatkan lagi disiplin serta pencapaian akademik dalam kalangan para pelajar.

    Profesor Madya Dr. Haji Hashim ketika membentang kertas kerja ‘Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja’.
    Profesor Madya Dr. Haji Hashim ketika membentang kertas kerja ‘Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja’.
    Ahli Jawatankuasa Tertinggi SM PDSM dan SM SMJA bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan jemputan khas majlis.
    Ahli Jawatankuasa Tertinggi SM PDSM dan SM SMJA bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan jemputan khas majlis.

    “Ini juga adalah satu lagi cara atau pendekatan dalam proses pembelajaran dan pengajaran formal atau tidak formal dalam membentuk golongan pelajar supaya mempunyai sikap atau sifat tanggungjawab, amanah, berintegriti, jujur, taat, komited, rajin, menghormati orang tua dan guru serta mempunyai semangat kebangsaan yang kukuh bersandarkan nilai-nilai keBruneian.

    “Kualiti yang terdapat dalam nilai-nilai Melayu Islam Beraja inilah yang sepatutnya perlu dimiliki dan dicontohi oleh para belia di negara ini,” ujarnya.

    Pengerusi PIBG SM PDSM, Hajah Bibi Kalthom binti Haji CA Mohammad dalam ucapannya pula menjelaskan, objektif acara berkenaan adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran pelajar melalui sokongan semua pihak, meningkatkan hubungan dan kerjasama di antara ibu bapa dan guru-guru khasnya bagi meningkatkan motivasi pelajar, serta menangani dan mengurangkan masalah sikap pelajar terhadap pembelajaran.

    Kolokium sehari itu dihadiri oleh ibu bapa dan pelajar Tahun 7 dan 8, yang dipilih kerana tahun ini merupakan peringkat proses yang sesuai untuk menerapkan pembentukan sahsiah dalam kalangan diri pelajar.

    Di majlis itu, kertas perdana bertajuk ‘Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja’ telah dibentangkan oleh Profesor Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.

    Diikuti dengan pembentangan kertas kerja 1 oleh Pegawai Pendidikan SM PDSM, Dayang Nurulida binti Haji Mohd Yusof dengan ‘Peranan Guru: Adat Belajar bagi Pelajar’.

    Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Lily Suzana binti Haji Samsu pula membentangkan kertas kerja kedua bertajuk ‘Konsep Arahan dan Hukuman Perspektif Sunah, Jana Kejayaan Pelajar’ diikuti pembentangan kertas kerja ketiga bertajuk ‘Peranan Masyarakat dalam Pembentukan Kejayaan Pelajar’ oleh Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor.

    Kolokium berkenaan diakhiri dengan pembentangan kertas kerja bertajuk Generasi Berproduktiviti Tinggi Menuju Wawasan Brunei 2035 oleh Pegawai Pendidikan SM SMJA, Asnah Haji Aman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda