Peranan sukarelawan tetap relevan

Oleh YusrinJunaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Dengan kemunculan wabak COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam, para sukarelawan terus berjuang dan berdedikasi untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara sama ada di barisan hadapan atau barisan tengah.

Di negara ini, sebahagian besar sukarelawan terdiri daripada golongan belia, alumni, ahli-ahli persatuan, pesara dan para mahasiswa dan penuntut sekolah.

Haji Sohaili bin Haji Mohidi, salah seorang ahli Jawatankuasa Kesatuan Ibu Bapa Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) ketika ditemui wartawan Media Permata, meluahkan rasa bangga terhadap belia negara.

Beliau turut berpendapat bahawa PKBN yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS)telah banyak membangkitkan semangat jati diri kepada ribuan belia dan beliawanis negara, termasuk alumni PKBN Rintis sehingga ke PKBN ke-9.

Menurut beliau, pihak Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) dan Kem Latihan PKBN telah mendisiplinkan para pelatih yang telah berjaya menghabiskan latihan di dalam kem dan meneruskan kesinambungannya walaupun setelah tamat latihan.

Sukarelawan membantu orang ramai di salah sebuah pusat kesihatan di Daerah Brunei dan Muara.

Manakala bagi Dayang Hajah Harlina pula, dia merasa bersyukur dengan penglibatan para sukarelawan yang dapat membantu para belia untuk memupuk dan mengembalikan budaya memucang-mucang atau bergotong-royong dan menjadi pendidikan rohani bagi mereka.

“Ini adalah suatu pendekatan yang wajar kita teruskan dan ambil berat sebagai suatu warisan dan pendidikan rohaniah kepada para belia dan beliawanis negara,” tambahnya.

Sementara Dayang Rohani binti Haji Omar pula, berharap sukarelawan ini perlu dijadikan satu cabang latihan dalam senario sebenar untuk diterapkan tatacara dan tunjuk ajar yang lebih berdaya saing dan dinamik. Ia juga mempunyai tarikan tersendiri yang boleh ditunjukkan kepada orang ramai dalam usaha bersama-sama memajukan apa jua keperluan dan kerjasama serta pengorbanan rakyat bagi menjaga keharmonian negara.

Pihak media turut sempat menemui salah seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Awang Mohammad Firdhaus bin Haji Mohd Husaini.

Baginya sebagai seorang anggota berunifom di negara ini, melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani penularan COVID-19 ini melalui semua kementerian yang terlibat. Ini khususnya dalam mewujudkan pasukan sukarelawan, terutama dari KKBS, Kementerian Kesihatan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memaduli segala kemaslahatan para sukarelawan seperti makanan dan minuman, tempat rehat atau penginapan, kenderaan dan sebagainya.

Sebagai anak belia Brunei, beliau juga merasa amat bangga melakukan kerja-kerja sukarelawan yang mampu memberi nilai tambah kepada para belia dan beliawanis negara sebagai persiapan apabila mereka memohon pekerjaan di dalam sektor kerajaan dan swasta sepertimana pepatah yang sering kita gunakan, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.