Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan warga emas di era digitalisasi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tarikh 1 Oktober setiap tahun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE).

    Sambutan ini sebagai satu komitmen Negara Brunei Darussalam dalam melaksanakan tanggungjawab ke atas warga emas dan satu pengiktirafan serta penghormatan daripada golongan masyarakat terhadap warga emas yang telah banyak berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

    Syukur ke hadrat Allah SWT, di negara kita, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan perhatian, pemedulian dan menghargai akan kewujudan warga emas di negara ini.

    Malah jasa dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh warga emas terhadap pembangunan keluarga, masyarakat dan negara memang tidak dapat dinafikan.

    Atas sumbangan dan bakti merekalah lahirnya generasi berwawasan masa kini yang menjadi penerus kepada pembangunan masyarakat, bangsa, agama dan negara.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri majlis tahlil bagi memperingati HAWE ke-31 yang diadakan secara maya pada 1 Oktober lalu. – Gambar fail
    Golongan warga emas perlu melakukan pelbagai aktiviti harian secara aktif kerana kecergasan mereka pastinya akan mempengaruhi minda dan emosi mereka. – Gambar fail

    Warga emas tanah air sahut cabaran

    Memang tidak dapat disangkal lagi sudah menjadi fitrah kehidupan, kita akan menghadapi usia tua di mana secara semula jadinya kita akan berada dalam serba kekurangan berbanding masa muda sama ada dari segi kekuatan fizikal, daya ingatan dan juga emosi.

    Oleh itu, pendekatan secara Whole of Nation adalah sangat penting dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas di negara ini, sekali gus membawa kedudukan mereka ke tahap yang lebih baik dalam sama-sama menghadapi dunia yang kini semakin mencabar.

    Justeru itu, Sambutan HAWE tahun ini membawa tema Kesaksamaan Digital untuk Semua Peringkat Umur, yang mana ia amat relevan dengan realiti baharu yang lebih berasas kepada teknologi digital berikutan situasi pandemik COVID-19 di negara ini.

    “Kita amat berbangga golongan warga emas Negara Brunei Darussalam bukan sahaja berupaya untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi seperti penggunaan aplikasi BruHealth dan QueUp untuk menguruskan keperluan harian, mereka juga telah mengambil inisiatif sendiri untuk memaksimumkan penggunaan teknologi digital untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang amat bermanfaat.”

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam perutusannya sempena Sambutan HAWE yang diraikan pada 1 Oktober lalu.

    Bersama kita memeduli

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut menjelaskan bahawa kadar penuaan di Negara Brunei Darussalam semakin meningkat, di mana golongan berumur 60 tahun ke atas dianggarkan berjumlah 28.7 peratus daripada jumlah penduduk pada 2050.

    Oleh yang demikian, selaras dengan objektif Pelan Tindakan Warga Emas, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan sokongan padu sektor swasta dan bukan kerajaan, telah dan terus menitikberatkan jaminan kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas di seluruh negara.

    Ini juga akan mengembangkan golongan penuaan yang aktif dan mandiri, dengan institusi keluarga mengambil peranan utama dalam penyediaan penjagaan yang terbaik, tambahnya.

    Dalam perutusan itu, beliau turut menyentuh mengenai Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya, (Pindaan) 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 yang berkuat kuasa bermula 1 Oktober 2021.

    Selain daripada mengemas kini syarat kelayakan menerima pencen umur tua, beliau menjelaskan bahawa pindaan Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya turut memberikan tambahan faedah kepada golongan warga emas berkelainan upaya yang layak untuk menerima pencen umur tua di samping elaun kurang upaya. Pada masa yang sama, dalam menghadapi situasi terkini pandemik COVID-19, kesihatan golongan warga emas juga diberikan keutamaan khusus.

    “Kita amat berbesar hati dan merakamkan setinggi penghargaan kepada lebih 39,000 orang warga emas ataupun 87 peratus daripada keseluruhan penduduk warga emas di Negara Brunei Darussalam yang telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin COVID-19.

    “Kita berbangga bahawa golongan warga emas telah memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk membendung wabak COVID-19 di negara ini dan kita amat mengalu-alukan bagi warga emas lain untuk mengambil vaksin tersebut,” tambah beliau.

    Di samping itu, dengan usaha padu agensi-agensi kerajaan, para pemimpin akar umbi dan para sukarelawan secara Whole of Nation, usaha untuk membendung kesan wabak COVID-19 juga terus diketengahkan dengan pembaikan proses pengagihan Pencen Umur Tua melalui pandu lalu dan pembayaran melalui akaun bank masing-masing.

    Ia memberikan impak yang sangat tinggi kepada golongan warga emas. Sehingga hari ini, seramai 11,773 orang atau 29 peratus daripada penerima Pencen Umur Tua memilih kaedah bank jika dibandingkan dengan 9,775 orang penerima pada Disember 2020.

    “Oleh yang demikian, atas segala usaha yang dilaksanakan pada tahun 2021, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan amat menghargai dan sangat mengalu-alukan komitmen dan usaha sedemikian daripada rakan-rakan strategik kita khususnya untuk menjaga kesejahteraan golongan warga emas, di samping meningkatkan kesedaran terhadap cabaran-cabaran terhadap kesihatan dan kesejahteraan golongan warga emas,” ujarnya.

    Warga emas memperkasa bacaan Al-Quran secara maya

    Sehubungan dengan itu, dengan matlamat bersama untuk mengamalkan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah mengadakan program Tilawah Wal Istima buat julung kalinya, baru-baru ini.

    Program itu bukan saja diadakan untuk ahli-ahli PKWE Daerah Tutong malah warga emas yang beragama Islam di negara ini, yang akan berlangsung selama lima minggu dengan surah-surah pilihan setiap minggu itu.

    Antara lain bertujuan program itu diadakan adalah bagi menyucikan hati dengan ayat-ayat Al-Quran dalam meniti usia yang hanya pinjaman sementara ini.

    Di samping itu, ia juga mampu mewujudkan jalinan persaudaraan sesama Islam dalam kalangan peserta yang terlibat sekali gus membuka minda dan pengetahuan terkini mengenai cara-cara penggunaan teknologi dalam talian.

    Selain itu, program tersebut juga dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk memohon perlindungan ke hadrat Allah SWT agar bumi Negara Brunei Darussalam dihindari daripada pandemik COVID-19 berbahaya yang melanda seluruh dunia ini, di samping memohon dengan kerendahan hati agar masyarakat di negara ini sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran jiwa serta terhindar daripada segala musibah, di samping sentiasa mendoakan insan-insan yang sudah kembali ke rahmatullah.

    Tiada yang baharu, jika tiada yang lama

    Hadirnya golongan warga emas bukan hanya kaya dengan pengalaman dan pengetahuan yang bermanfaat terutamanya bagi generasi muda, bahkan mereka juga aset yang amat bernilai kepada negara.

    Namun untuk memastikan mereka terus bernilai dan menawarkan pengalaman mereka kepada generasi baharu, kesihatan peribadi perlu dititikberatkan sama ada oleh warga emas itu sendiri, anak-anak dan ahli keluarganya yang lain.

    Untuk itu, mereka amat digalakkan melakukan aktiviti harian secara aktif kerana kecergasan mereka pastinya akan mempengaruhi minda dan emosi serta menyumbang kepada kesejahteraan bersama, di samping menjaga pemakanan dalam kehidupan sehari-hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda