Thursday, February 9, 2023
22.8 C
Brunei

-

Peranan warga emas sentiasa dihargai

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JAPEM

Sumbangan berterusan warga emas sentiasa dihargai khususnya sebagai sumber serta mentor dalam mengongsi pengalaman dan pengetahuan yang bernilai dan pada masa yang sama, memainkan peranan untuk membimbing keluarga dengan teguh serta penuh kasih sayang.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan penting warga emas dalam masyarakat, Negara Brunei Darussalam menyertai negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain, menyambut Hari Antarabangsa Warga Emas pada setiap 1 Oktober di mana sambutan pada tahun ini membawa tema, Daya Tahan dan Sumbangan Warga Emas Wanita.

Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Antarabangsa Warga Emas dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bilangan warga emas yang semakin meningkat di negara ini.

Di samping itu, ia adalah untuk memastikan rakyat di negara ini berpeluang mencapai umur tua dengan sihat, aktif, bermaruah serta berupaya melibatkan diri dalam masyarakat sebagai individu yang mempunyai hak yang tersendiri.

Tidak kurang diberikan keutamaan ialah sumbangan warga emas wanita dalam masyarakat dan dalam hubungan itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Lanjutan Universiti Brunei Darussalam (UBD CARe), telah menganjurkan Forum WEWow bermaksud Warga Emas Wanita yang Wow, iaitu warga emas wanita yang boleh dikagumi, bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2022 yang berlangsung di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), UBD pada 29 November lalu.

Hajah Nor Ashikin menghadiri forum WEWow yang berlangsung baru-baru ini.
Dayang Mirany Floridzah menyampaikan kata alu-aluannya semasa forum WEWow yang berlangsung di ILIA, UBD pada 29 November lalu.

Para peserta forum memberikan pandangan, ulasan dan pendapat semasa forum WEWow.
Ahli-ahli panel forum membentangkan topik mereka semasa forum berkenaan.

Forum itu dirasmikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

Turut hadir di forum berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman; Pengarah Pusat Penyelidikan Lanjutan UBD, Dr Siti Mazidah binti Haji Mohamad serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS.

Lebih 150 orang menyertai forum berkenaan yang terdiri daripada rakan strategik KKBS termasuk golongan warga emas dari Pusat Kegiatan Warga Emas, Pertubuhan WARGAMAS, persatuan-persatuan bukan kerajaan, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung.

Menurut Dayang Mirany Floridzah, forum itu meraikan sumbangan warga emas wanita dalam masyarakat dan membincangkan isu-isu warga emas melalui sudut pandang yang berbeza.

Forum yang dikendalikan oleh Penolong Profesor Program Kejururawatan dan Perbidanan, UBD, Dr Hajah Asmah binti Haji Husaini selaku moderator, mengetengahkan empat orang ahli panel jemputan yang membincangkan mengenai topik yang berkaitan dengan warga emas dengan ahli panel pertama, Penolong Profesor Kanan UBD, Dr Khadizah binti Haji Abdul Mumin membincangkan mengenai pengalaman warga emas wanita dari segi kedayatahanan dan sumbangan kepada masyarakat.

Dalam pembentangannya, beliau mengetengahkan hasil kajian, National Study of Elderly Persons 2018, di mana antara lain mengongsi cara warga emas menunjukkan kedayatahanan mereka dalam mencapai kepuasan hidup dengan aktiviti kesihatan, sosial dan rohani.

Sementara itu, ahli panel kedua, Naib Presiden Demensia Brunei, Dayang Irnawati binti Haji Mahir berkongsi mengenai Community Project for Dementia: Preliminary Results di mana penyakit demensia mempunyai peningkatan yang pesat dalam kalangan warga emas.

Beliau menambah hasil kajian yang dibuat telah mendapati masih kurang kesedaran mengenai demensia dalam kalangan orang ramai serta kadar penyakit tidak berjangkit adalah tinggi yang menjadikan seseorang itu mempunyai faktor risiko demensia lebih awal.

Panel forum ketiga, Setiausaha Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong, Hajah Intan binti Ayum mengongsi mengenai pengalaman dan peranannya sebagai ahli Jawatankuasa Tadbir Pusat Kegiatan Warga Emas dalam menyemarakkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Pusat Kegiatan Warga Emas.

Melalui perkongsiannya itu, pusat-pusat kegiatan warga emas memang memainkan peranan penting dalam mengutamakan penuaan aktif yang banyak menjalankan aktiviti untuk mengisi kekosongan melalui program keagamaan, kesihatan dan keusahawanan.

Sementara itu, ahli panel forum keempat, Setiausaha Agung, Pertubuhan WARGAMAS, Hajah Sinega binti Haji Swadi mengongsi mengenai peranan dan sumbangan warga emas wanita dalam keluarga dan masyarakat.

Beliau menekankan mengenai pentingnya intervensi untuk memudahkan akses kepada peluang interaksi sosial dan aktiviti persekitaran supaya warga emas wanita mengekalkan kesihatan mental dan kualiti hidup semasa meniti usia lanjut.

Forum turut diisikan dengan sesi soal jawab di mana para peserta forum mengongsi pandangan dan pendapat masing-masing mengenai topik-topik yang diketengahkan oleh para ahli panel forum.

Forum itu dihasratkan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan yang berterusan daripada golongan warga emas khususnya sebagai sumber dan mentor dalam perkongsian pengalaman serta pengetahuan dan sumbangan yang bernilai, dan juga jasa mereka kepada masyarakat dan keluarga.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -