Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Negara Brunei Darussalam mempunyai identiti yang unik iaitu Melayu Islam Beraja (MIB), maka dalam hal ini apa jua perancangan negara mestilah berpaksikan kepada falsafah MIB yang mana identiti berkenaan telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai satu-satunya negara memiliki ‘entiti’ yang mantap.
Dalam hal ini, segala perancangan dasar dan peraturan termasuk dalam pengemaskinian dan merangka surat keliling serta garis panduan akan sentiasa berpandukan dengan konsep MIB untuk diamalkan dan dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kerajaan bagi kesejahteraan negara dan rakyat.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa ucapan penangguhan Mesyuarat Pertama Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-18 di Dewan Majlis, hari ini.
Perkara kedua yang perlu diambil perhatian serius terutamanya oleh pihak kerajaan sejak dahulu lagi, menurutnya, mengenai isu yang berkaitan integriti bagi pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam berdasarkan Peraturan-peraturan Am 1961, surat keliling yang mengawal selia warga perkhidmatan awam, etika kerja dan sebagainya.
“Dalam hal ini saranan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim mengenai ikrar atau lebih kuat lagi sumpah pegawai dan kakitangan kerajaan adalah disambut baik.
Insya Allah pihak Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan merancang tatacara pelaksanaan yang difikirkan bersesuaian sebagai tambahan kepada peraturan-peraturan yang sedia ada,” jelas Yang Berhormat Dato.
Manakala, perkara ketiga yang beliau ditekankan ialah berkaitan talent retention dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang disuarakan oleh Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad. Dalam hal ini, setiap kementerian telah disediakan peruntukan yang besar bagi peningkatan kemahiran kapasiti bagi warga perkhidmatan Awam.
Ujarnya, JPM telah dan sedang giat melaksanakan Program Memperkasa Kepimpinan iaitu Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) sebagai salah satu sub-inisiatif di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 di samping memastikan perancangan penggantian dalam perkhidmatan awam dilaksanakan.
Beliau turut menjelaskan bahawa program CSLP bertujuan untuk mengenal pasti, membangun kompetensi dan mengekalkan pegawai-pegawai yang berkeupayaan, berkualiti dan berkebolehan meningkatkan prestasi organisasi untuk menjadi pemimpin-pemimpin masa hadapan. Selain itu, ia juga sebagai salah satu usaha berterusan untuk menyediakan dan mempersiapkan para pegawai kerajaan untuk menjawat jawatan-jawatan yang lebih tinggi lagi bagi menjayakan program penggantian dalam perkhidmatan awam.
Di samping itu, JPM melalui Institut Perkhidmatan Awam (IPA) akan terus menerus menyediakan program-program yang bersesuaian selaras dengan Analisis Keperluan Latihan atau Training Needs Analysis.
Mengenai saranan untuk diteliti tangga gaji dalam perkhidmatan awam, Yang Berhormat Dato menekankan perkara ini perlu dilihat secara holistik dan difikirkan secara mendalam kerana ianya akan memberikan impak kepada kewangan negara dan jua sektor swasta sendiri, malah impak yang menyeluruh kepada masyarakat secara umum.
Tambahnya, begitu juga digalakkan para pencari kerja untuk bekerja dengan sektor swasta dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan yang semakin terhad.
Namun apa yang penting ialah program atau projek yang strategik untuk dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti warga perkhidmatan, perkhidmatan yang efisien dan efektif serta dapat menyumbangkan hasil kepada kerajaan.
Perkara terakhir yang Yang Berhormat Dato tekankan ialah menjurus kepada keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.
Oleh itu, beliau menjelaskan JPM melalui kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan akan terus bertindak merangka strategi untuk memelihara kestabilan, mempertahankan kedaulatan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dan keupayaan diplomatik dan juga persediaan negara dalam menangani ancaman keselamatan.
Ini termasuklah dalam meningkatkan kerja-kerja pembanterasan jenayah dan pengukuhan keupayaan agensi-agensi berkepentingan dalam mengendalikan krisis-krisis nasional dan merentas sempadan.
Dalam kesempatan itu, Yang Berhormat Dato turut menekankan bahawa Jabatan Radio Televisyen (RTB) akan diteliti mengikut kesesuaian bagi memastikan rancangan-rancangan yang disiarkan melalui radio dan televisyen menepati cita rasa orang ramai dan relevan berlandaskan mengikut tatasusila kebruneian sebelum ianya disiarkan.