Perancis batal pertemuan bersama Menteri UK

PARIS, 26 NOV – Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin hari ini memberitahu rakan sejawat dari United Kingdom (UK), Priti Patel, dia membatalkan rancangan untuk mengadakan rundingan bersamanya pada hujung minggu, sebagai bantahan terhadap surat yang dihantar oleh Perdana Menteri Boris Johnson mengenai krisis pendatang.

Dalam pesanan yang disaksikan oleh AFP, Darmanin memberitahu Patel bahawa surat dari Johnson kepada Presiden Emmanuel Macron memberitahu Perancis untuk menghantar semula pendatang yang menyeberang terusan sebagai ‘mengecewakan’.

Merujuk hantaran surat Johnson menerusi media sosial, dia menambah: “Memberitahunya kepada umum menjadikan ia lebih teruk. Oleh itu saya akan membatalkan pertemuan di Calais pada Ahad ini.”

Perancis merancang untuk menganjurkan pertemuan bersama menteri-menteri dari semua negara pesisir terusan, termasuk Patel, mengenai krisis pendatang di Calais pada Ahad, selepas 27 pendatang terkorban pada minggu ini di pesisiran Perancis dalam kemalangan.

Menurut sumber terdekat kepada Darmanin memberitahu AFP bahawa pertemuan akan diteruskan bersama menteri-menteri negara Eropah lainnya namun menambah Patel tidak lagi di undang selepas surat yang ‘tidak boleh diterima’ diutus oleh Johnson.

“Kami menganggap surat terbuka Perdana Menteri Britain sebagai tidak boleh diterima dan bertentangan dengan perbincangan yang kami adakan bersama rakan sejawat,” menurut sumber, yang tidak mahu dinyatakan.

“Oleh itu, Priti Patel tidak lagi di undang untuk pertemuan bersama menteri-menteri pada Ahad, yang akan mengekalkan perjumpaan antara Perancis, Belgium, Belanda, Jerman dan Suruhanjaya Eropah.”

Johnson menulis surat kepada Macron semalam meminta Perancis untuk segera mengambil semula pendatang yang tiba di England selepas menyeberang terusan dan dalam langkah yang berbeza, menghantar kesemua teks surat di dalam Twitter. – AFP

Gerald Darmanin semasa menjawab pertanyaan wartawan di Calais, Perancis pada 24 November lalu. Darmanin menegaskan dia membatalkan rancangan untuk mengadakan rundingan bersama UK pada hujung minggu sebagai tanda bantahan. – AP