Perancis, Belanda termasuk senarai kuarantin UK

LONDON, 14 OGOS – Britain akan menguatkuasakan semula peraturan kuarantin kepada pelancong dari Perancis dan Belanda susulan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua negara itu.

Menteri Pengangkutannya, Grant Shapps, berkata pelancong dari dua negara itu yang tiba di United Kingdom (UK) selepas jam 4 pagi mulai esok diwajibkan untuk menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

“Data-data menunjukkan bahawa kita perlu mengeluarkan Perancis, Belanda, Monaco, Malta, Turki, Caicos dan Aruba daripada senarai Koridor Perjalanan COVID-19 kami untuk memastikan kadar jangkitan menurun.

“Sehubungan itu, jika anda tiba di UK selepas jam 4 pagi pada Sabtu ini, anda perlu mengasingkan diri selama 14 hari,” katanya semalam.

Langkah itu berkemungkinan akan mendorong kira-kira 500,000 pelancong dari Britain yang kini berada di Perancis ‘keluar’ dari negara itu secara beramai-ramai. Britain pada mulanya menguatkuasakan kuarantin secara meluas kepada semua pengunjung yang tiba ke negara itu, namun kemudiannya mewujudkan ‘koridor perjalanan’ yang menge-cualikan pelancong dari negara tertentu untuk menjalani tempoh pengasingan diri.

Minggu lalu, Britain menguatkuasakan semula peraturan kuarantin kepada pelancong dari Andorra, Belgium dan Bahamas. – AFP