Perancis, Belgium mahu ubati luka Euro

MILAN, 6 OKT – Perancis bakal berdepan Belgium dalam saingan separuh akhir Liga Negara-Negara Khamis ini di Turin sekali gus untuk membuktikan dan menebus duka selepas tersingkir awal di Euro 2020.

Juara dunia Perancis adalah antara pasukan pilihan untuk menjuarai Kejohanan Eropah tetapi gagal menepati status mereka meskipun skuad mereka dipenuhi dengan ramai pemain bintang berkualiti. Mereka disingkirkan oleh Switzerland menerusi penentuan penalti pada peringkat 16 akhir selepas mendahului 3-1 ketika permainan berbaki 15 minit namun gagal bertahan sehingga membawa kekalahan Perancis.

Semalam L’Equipe melaporkan penyerang Kylian Mbappe yang gagal menjaringkan penalti terakhir berkata dia mahukan lebih banyak sokongan selepas peristiwa malang itu.

“Apa yang mengejutkan ialah saya dipanggil monyet,” kata Mbappe.

“Itu sebabnya saya mahukan sokongan bukan kerana saya sepak penalti ke sebelah kiri dan (Yann) Sommer menyelamatkannya.”

Gambar fail pada 2 Julai lalu menunjukkan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois semasa perlawanan suku akhir UEFA EURO 2020 menentang Itali di Allianz Arena di Munich. – AFP

Mbappe turut berkata dia perlukan sokongan rakan sepasukan selepas kegagalannya itu tetapi penolong kapten, Raphael Varane menegaskan mereka akan memberi sokongan di antara satu sama lain.

“Kami tetap teguh dalam apa keadaan sekalipun. Kami tidak akan tinggalkan sesiapa di belakang. Itu falsafah kami dan ia tidak akan berubah,” kata pertahanan Manchester United, Varane kepada wartawan.

Prestasi Perancis setakat ini kurang meyakinkan apabila mencatat kemenangan pertama menewaskan Finland 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia bulan lalu selepas lima keputusan seri berturut-turut.

“Kami perlu mengambil serius kejohanan ini, ia menggantikan aksi persahabatan yang sangat tidak digemari,’’ kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Kami tahu apa tujuan kami di sini dan tidak seperti pertandingan lain, kami sudah berada di separuh akhir.”

Belgium juga akan berusaha untuk bangkit daripada kempen Euro selepas mereka disingkirkan dari kejohanan di peringkat suku akhir.

Pasukan Roberto Martinez mungkin lebih baik berbanding Perancis pada musim panas tetapi lebih mengecewakan mereka yang menduduki tempat nombor satu di dunia. – AFP