Perancis catat lebih 10,000 kes COVID-19 sehari

PARIS, 13 SEPT – Lebih 10,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Perancis, semalam sekali gus mencatat jumlah harian tertinggi sejak ujian berskala besar dilancarkan susulan pandemik itu di negara berkenaan.

Agensi Kesihatan Awam Perancis, berkata jumlah itu meningkat kepada 10,561 kes baharu, semalam berbanding 9,406 kes baharu, pada Jumaat lalu.

Dalam tempoh 24 jam, 17 orang meninggal dunia di hospital, membawa jumlah kepada 30,910.

Sebanyak 417 pesakit baharu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), sejak minggu lalu.

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex mengingatkan terdapat kemerosotan wabak yang jelas di negara itu, dan peningkatan pesakit yang menerima rawatan disebabkan COVID-19 sangat membimbangkan.

Namun, beliau tidak mengumumkan melakukan sekatan baharu atau memendekkan masa kuarantin daripada 14 hari kepada tujuh bagi mereka yang dijangkiti virus itu. – AFP