MOSCOW, 27 Jun – Perancis mengesahkan kedudukan teratas di depan Denmark dalam Kumpulan C lewat semalam susulan seri 0-0 di Moscow, yang menetapkan pertembungan menarik dengan Argentina pimpinan Messi pada peringkat 16 terakhir.
Skuad Didier Deschamps mendominasi perlawanan namun gagal mencipta peluang sebenar menentang Denmark, yang akan bertemu Croatia bagi merebut slot suku akhir.
Perancis telah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan di Rusia, termasuk satu penalti dan satu jaringan sendiri, dan adalah satu lagi persembahanan hambar yang dipamerkan oleh pesaing utama gelaran.
Mereka telah mengesahkan lawan masing-masing selepas Argentina menewaskan Nigeria di Saint Petersburg awal pagi tadi.
Deschamps merehatkan kapten Hugo Lloris dan Paul Pogba, kerana pemain tengah Manchester United itu sudah menerima satu kad kuning, sementara Kylian Mbappe juga direhatkan daripada enam perubahan yang dibuat ke atas pasukan.

Penjaga gol Marseille, Steve Mandanda, 33, membuat penampilan pertamanya di kejohanan utama, setelah khidmatnya tidak digunakan dalam tiga kejohanan Euro dan Piala Dunia 2010.
Selepas perdebatan hangat mengenai sistem video bantuan pengadil (VAR) susulan kontroversi sebelum ini, ia memang sukar untuk dielakkan bagi mana-mana gesaan penalti untuk sebarang cabaran di Stadium Luzhniki.
Sudah terdapat lebih 20 penalti diberikan pada Piala Dunia kali ini, satu rekod kejohanan sebelum berakhirnya peringkat kumpulan.
Martin Braithwaite dari Denmark membuat rayuan awal selepas dijatuhkan apabila diasak oleh Presnel Kimpembe, meskipun hanya terdapat sentuhan minimum.
Perancis juga menggesa bagi penalti apabila Henrik Dalsgaard dilihat mengasari Lucas Hernandez, dan Kasper Schmeichel menolak percubaan Olivier Giroud.
Siulan ejekan telah memenuhi stadium berkapasiti 78,011 semasa wisel penamat, meskipun ia adalah keputusan yang baik untuk kedua pasukan, di mana Denmark, tanpa kalah dalam 18 perlawanan, mara ke peringkat seterusnya buat pertama kali sejak 2002. – AFP

































