Perancis dilanda banjir kilat

PARIS, 15 SEPT – Pekerja kecemasan menyelamat atau memindah ratusan penduduk di selatan Perancis ketika banjir kilat menukar jalan raya dan ladang kepada sungai dan tasik.

Ketika hujan lebat mengancam kawasan pada hari ini, perkhidmatan kecemasan untuk rantau Gard berkata anggota menyelamat sedang mencari sekurang-kurangnya seorang penduduk yang dilapor hilang selepas banjir petang semalam.

Tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan, namun pihak berkuasa tempatan berkata hujan mengakibatkan kerosakan besar terhadap rumah dan infrastruktur di seluruh bandar dan kampung di antara Nimes dan Montpellier.

Seorang penduduk disambar kilat namun terselamat, dan bumbung sebuah pasar raya roboh di bawah aliran air deras, menurut perkhidmatan kecemasan serantau.

Penduduk dipindah dari kawasan khemah yang digambarkan di televisyen BFM di mana mereka melihat air membanjiri kawasan perkhemahan mereka. Kira-kira 800 anggota bomba dikerah untuk menyelamatkan orang menerusi helikopter dan kaedah lain.

Sekolah di seluruh rantau ditutup hari ini apabila kerja-kerja pembersihan bermula di beberapa bandar.

Banjir berlaku selepas musim cuaca melampau yang melihat kebakaran hutan teruk berhampiran French Riviera dan sekitar Mediterranean, banjir teruk di Jerman dan Belgium dan kemarau serta gelombang haba di kawasan lain di seluruh dunia. Kejadian tersebut dijangka berlaku lebih kerap sekarang ketika planet menjadi panas disebabkan peruba-han iklim berpunca daripada manusia. – AP

Seorang pegawai Gendarme Perancis melihat dua trak terkandas di jalan dibanjiri di Codognan, kawasan Gard, rantau Occitanie, selatan Perancis pada 14 September selepas hujan lebat.– AFP