Perancis kembali temui sentuhan kemenangan

LYON, 8 SEPT – Dua gol jaringan Antoine Griezmann memberikan Perancis kemenangan 2-0 ke atas Finland dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 mereka kelmarin, dan menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa menang bagi pasukan juara bertahan Piala Dunia itu.

Pemain Atletico Madrid berusia 30 tahun itu berjaya meletak dua gol sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan Michel Platini yang melakar 41 gol untuk Perancis, namun masih ketinggalan 10 gol di belakang penjaring terbanyak, Thierry Henry dan lima gol di belakang Olivier Giroud.

“Saya sangat gembira dengan persembahan saya dan berbangga kerana dapat menyamakan rekod Michel Platini,” Griezmann memberitahu TF1.

“Malam ini kami beraksi dengan cukup hebat dan kami memerlukan kemenangan selepas lima kali seri dan kami berjaya memenanginya dengan bergaya.”

Kemenangan tersebut akan dapat menghilangkan memori gelap kekalahan skuad Perancis di tangan Switzerland menerusi penentuan penalti dalam kelompok 16 terakhir di Euro 2020.

“Kami tidak melakukan segalanya dengan baik tetapi kami berjaya menemui semula keyakinan,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Ini membuat kami menentukan takdir kami sendiri dan kami mesti menyelesaikan tugasan ini pada November.”

Perancis semakin menerima tekanan pada 10 minit pembukaan dan memaksa bertahan daripada sepakan sudut lawan manakala Theo Hernandez nyaris menjaringkan gol dari luar kotak penalti.

Walaupun banyak serangan dilakukan oleh pasukan tuan rumah – Karim Benzema bergandingan dengan Anthony Martial dan Griezmann – namun pasukan Perancis tidak menentu pada awal perlawanan.

Paul Pogba membuatkan Deschamps berang pada minit ke-14 selepas pemain Manchester United itu membuat hantaran tidak menentu. Pertahanan Perancis turut kelihatan goyah setiap kali Finland melancarkan serangan pada separuh masa pertama. – AFP

Reaksi penyerang Perancis, Antoine Griezmaan meraikan gol bersama rakan sepasukan semasa pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Finland, kelmarin . – AP