PARIS, 25 Ogos – Pemain remaja sensasi Kylian Mbappe, telah dilaporkan diambang berpindah ke Paris Saint-Germain, telah disenaraikan dalam skuad Perancis bagi kelayakan Piala Dunia menentang Belanda dan Luxembourg.
Sementara bintang Monaco berusia 18 tahun, Mbappe, tersenarai, jurulatih Didier Deschamps mengetepikan remaja sensasi Borussia Dortmund, Ousmane Dembele, yang terlibat dengan saga perpindahannya sendiri selepas menarik minat Barcelona, yang mahu menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Neymar.
Deschamps berkata kedua pemain itu mempunyai situasi yang berbeza.
“Ousmane tidak berlatih selama dua minggu dan dia masih menunggu sama ada perpindahan itu diteruskan atau tidak,” katanya.
“Terdapat banyak kebisingan menyelubungi Kylian sama ada dia bertukar kelab atau tidak. Tetapi meskipun dia tidak terlibat dalam dua perlawanan terakhir Monaco, dia masih terus berlatih dan cergas.”
Tidak ada tempat juga untuk pemain pertahanan Benjamin Mendy, yang meninggalkan juara Ligue 1, Monaco untuk menyertai Manchester City, tetapi kembali kepada kecergasan penuh selepas mengalami kecederaan paha.
Perancis akan bermain menentang Belanda di Stade de France di Paris pada 31 Ogos sebelum menghadapi Luxembourg di Toulouse pada 3 September. – AFP