Perancis menang mudah, bimbang Benzema cedera

PARIS, 9 JUN – Karim Benzema terpaksa meninggalkan padang selepas mengalami kecederaan kaki ketika juara bertahan Piala Dunia itu menumpaskan Bulgaria 3-0 dalam perlawanan persahabatan terakhir semalam, seminggu sebelum Euro 2020 bermula.

Benzema dikeluarkan pada minit ke-39 di Stade De France dalam aksi terakhir Perancis sebelum mereka berdepan Jerman untuk perlawanan pembukaan Kumpulan F, 15 Jun ini.

Perancis juga akan berdepan juara Euro, Portugal dan Hungary, di mana kedua-dua pasukan itu akan beraksi di depan penyokong di Arena Puskas di Budapest.

Penyerang berusia 33 tahun itu dipanggil semula menyertai skuad Perancis selepas enam tahun diketepikan namun penggantinya, Olivier Giroud membuktikan kenapa Les Blues dianggap sebagai salah seorang pemain pilihan dengan meledakkan gol di hujung perlawanan dan merupakan jaringan ke-46nya.

Giroud, 34, kini ketinggalan hanya lima gol di belakang penjaring terbanyak Perancis sepanjang masa, Thierry Henry, namun beliau mungkin akan kembali ke bangku simpanan apabila Benzema kembali cergas.

Aksi penyerang Perancis, Karim Benzema ketika mengawal bola di depan pemain tengah Bulgaria, Bozhidar Kraev semasa perlawanan persahabatan di Stade De France di Saint-Denis, semalam. – AFP

“Apabila orang memanggil saya, perkara paling penting adalah menjalankan tugas.

“Saya mendapat bantuan yang baik dari rakan sepasukan. Mereka tahu saya akan berada dalam petak penalti jadi saya cuba untuk melakukan penyudah yang baik,” kata Giroud.

Antoine Griezmann menjaringkan gol pembukaan di depan 5,000 penyokong yang juga meraikan pengembalian mereka untuk menyaksikan perlawanan di stadium.

Penyokong dibenarkan masuk ke stadium selepas diuji negatif COVID-19 dalam tempoh 48 jam atau mempunyai bukti tidak dijangkiti virus berkenaan.

Perancis berada di depan menerusi jaringan Griezmann, Benzema duduk di tengah padang dan diperiksa oleh doktor pasukan setelah terjatuh dengan teruk ketika cuba melakukan tandukan beberapa minit sebelumnya. Selepas itu, beliau terpaksa meninggalkan padang. – AFP