Perancis menang mudah

PARIS, 11 SEPT – Kingsley Coman sekali lagi menjadi penjaring ketika membantu Perancis menang 3-0 ke atas Andorra pada saingan kelayakan Euro 2020 di Stade de France awal pagi tadi, manakala Antoine Griezmann gagal menyudahkan penalti dalam dua perlawanan berturut-turut.

Coman telah menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Albania hujung minggu lalu dan kali ini dia meledakkan gol pembukaan pada minit ke-18 menentang Andorra, yang berada di ranking 136 dunia.

“Ia adalah minggu yang sangat baik. Ia berjalan dengan lancar secara individu dan berpasukan,” kata Coman.

Manakala Griezmann pula, yang menyaksikan penaltinya menentang Albania terkena gawang, kali ini penaltinya diselamatkan pada separuh masa pertama.

Namun Perancis berjaya menggandakan kedu-dukan menjadi 2-0 menerusi rakan sepasukan Griezmann di Barcelona, Clement Lenglet.

Wissam Ben Yedder melengkapkan kemenangan skuad Didier Deschamps pada hari bersejarah buat Perancis kerana ia merupakan perlawanan ke-100 Perancis di stadium tersebut, tempat di mana mereka memenangi Piala Dunia 1998.

Juara dunia itu mungkin menang dengan lebih banyak gol, namun dinafikan oleh gawang sebanyak dua kali pada separuh masa kedua dan semangat juang skuad Andorra, yang masih tanpa sebarang mata atau gol setelah enam perlawanan kelayakan.

Perancis ketika ini berkongsi kedudukan dalam Kumpulan H dengan Turki, 15 mata selepas enam perlawanan, dan tiga mata di depan Iceland. – AFP

Clement Lenglet (tengah) diraikan oleh rakan sepasukan Perancis selepas meledakkan gol kedua menentang Andorra. – AP