Perancis peruntuk AS$1.2b bantu petani terjejas

MONTAGNAC, PERANCIS, 18 APRIL – Perdana Menteri Perancis Jean Castex semalam berjanji akan memperuntukkan bantuan lebih satu bilion euro kepada petani yang berdepan fros paling teruk dalam beberapa dekad.

Di seluruh Perancis, ahli pertanian mengira kerugian selepas cuaca beku, yang didahului tempoh cuaca panas, menjejas ratusan ribu hektar tanaman di 10 daripada 13 rantau negara.

“Satu situasi luar biasa, langkah luar biasa. Saya baru mengumumkan usaha besar kerajaan untuk memperuntukkan lebih satu bilion euro (AS$1.2 bilion) memandangkan situasi mewajarkannya,” beritahu Castex pada mesyuarat wakil petani dan pegawai tempatan di selatan Perancis.

Beliau berkata bantuan kecemasan akan diberikan ‘dalam 10 atau 15 hari’ kepada pegawai tempatan untuk membantu petani yang paling teruk terjejas. – AFP

Perdana Menteri Perancis Jean Castex (tengah) bercakap dengan pekebun di Montagnac, dekat Beziers, selatan Perancis pada 17 April 2021 di ladang anggur yang terjejas oleh fros. – AFP