Perancis peruntuk AS$16.9b bantu sektor penerbangan

PARIS, 9 JUN – Kerajaan Perancis akan memperuntukkan 15 bilion euro (AS$16.9 bilion) untuk menyokong industri penerbangan negara, yang telah terjejas akibat sekatan perjalanan yang dikenakan untuk mengekang pandemik koronavirus, kata Menteri Kewangan Bruno Le Maire hari ini.

“Kami mengisytiharkan keadaan darurat untuk menyelamatkan industri aeronautik kami supaya ia boleh menjadi lebih berdaya saing,” kata Le Maire pada sidang media di Paris.

“Jika kami tidak campur tangan, satu pertiga daripada pekerjaan dalam sektor itu akan lenyap, ia bersamaan kira-kira 100,000 daripada 300,000 pekerjaan dalam sektor,” tambah beliau.

Tempahan merosot tatkala syarikat penerbangan di seluruh dunia mengingatkan mereka menghadapi krisis kerana prospek untuk perjalanan masih tidak menentu tatkala krisis COVID-19 memberikan kesan paling teruknya.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa Air France-KLM, yang mencatat kerugian 1.8 bilion euro dalam suku pertama, akan menerima tujuh bilion euro dalam pinjaman sama ada dari, atau disokong oleh kerajaan.

Wang itu membenarkannya membeli 60 buah kapal terbang Airbus A220 dan 38 jet A350.

Kerajaan Perancis dan Airbus, serta Dassault Aviation, Thales dan Safran, akan menyumbang 200 juta euro masing-masing untuk membiayai firma saiz kecil dan sederhana, terutamanya membantu mereka melabur dalam teknologi pengurangan karbon.

Pelan itu juga termasuk 1.5 bilion euro untuk merangsang penyelidikan mengenai ‘kapal terbang karbon neutral’ dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan matlamat memulakan operasi kapal terbang pada 2035, kata Le Maire. – AFP

Menteri Kewangan Bruno Le Maire tiba untuk sidang media di Paris kelmarin. – AFP