Perancis rai Hari Bastille

PARIS, 14 JULAI – Presiden Perancis Emmanuel Macron hari ini akan meletakkan kerjasama tentera Eropah di tengah perarakan Hari Bastille pada masa ketegangan yang meningkat dengan Amerika Syarikat (AS).

Pemimpin EU utama, termasuk Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, dijangka menyertai Macron untuk menyaksikan perarakan tahunan di Champs Elysees yang menandakan serangan kubu Bastille di Paris dalam Revolusi Perancis pada 14 Julai 1789.

Perdana Menteri Britain bersara, Theresa May telah dijangka hadir tetapi Britain sebaliknya akan diwakili oleh menteri kabinet senior David Lidington, kata Elysee.

Lebih 4,000 anggota angkatan bersenjata membanjiri jalan pada awal perarakan di Champs Elysees di Arc de Triomphe tatkala mereka bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam perarakan ke Place de la Concorde di mana orang kenamaan akan duduk.

Kerjasama pertahanan Eropah yang lebih erat telah menjadi salah satu dasar luar utama Macron dan presiden tidak menunjukkan tanda-tanda goyah meskipun pergolakan politik yang meningkat di Jerman dan pengeluaran Britain dari Kesatuan Eropah.

Pada perarakan 2017, tetamu kehormat Macron adalah Presiden AS Donald Trump tatkala pemimpin Perancis berusaha mengambil inisiatif tersebut untuk menjalin persahabatan dengan rakan sejawatannya. Trump amat tertarik dengan acara itu sehingga beliau mengarahkan perarakan tentera yang sama di Washington untuk Sambutan Hari Kemerdekaan pada 4 Julai.

Kira-kira 4,300 anggota bersenjata, 196 kenderaan, 237 kuda, 69 kapal terbang dan 39 helikopter akan dihantar untuk acara itu di tengah ibu negara Perancis. – AFP

Tentera Perancis berkumpul di jalan Champs-Elysees di Paris sebelum perarakan tentera Hari Bastille kelmarin. – AFP