Perancis ranap impian Australia

PERTH, AUSTRALIA, 10 NOV – Kristina Mladenovic dan Caroline Garcia mengetuai Perancis untuk merangkul gelaran Piala Fed pertamanya sejak 2003, selepas meranapkan harapan tuan rumah, Australia, 3-2, hari ini.

Kristina Mladenovic dan Caroline Garcia beraksi dengan tenang pada penentuan menewaskan Ash Barty dan Sam Stosur 6-4, 6-3 di Perth Arena sekali gus mengesahkan gelaran ketiga Perancis dalam acara wanita.

Ia adalah gelaran ketiga Perancis dan pertama kali sejak mereka menewaskan Amerika Syarikat 16 tahun yang lalu.

Mladenovic dan Garcia, yang memenangi kejuaraan beregu Perancis Terbuka 2016, bangkit semula daripada keputusan awal dalam set pertama untuk mendedahkan kelemahan Stosur, yang melakukan terlalu banyak kesilapan.

Pemain nombor satu dunia, Barty, yang dikejutkan dengan aksi mengagumkan Mladenovic dalam acara perseorangan hari ini, melakukan penampilan terbaik untuk mengekalkan Australia dalam kedudukan terbaik, tetapi pasangan Perancis itu lebih mempamerkan aksi yang sangat hebat untuk terus memburu kemenangan.

“Sayalah orang yang paling gembira ketika ini, saya sangat bangga dengan pemain dan pasukan saya, mereka layak kerana mereka berjuang untuk masa yang lama bagi merangkul gelaran ini,” kata kapten Perancis, Julien Benneteau.

Bagi Mladenovic dan Garcia, ia merupakan aksi untuk yang terbaik untuk mengembalikan kemenangan selepas mereka tewas pada penentuan peringkat akhir tahun 2016 menentang Republik Czech. – AFP

Pasukan Perancis (dari kiri) Kristina Mladenovic, Caroline Garcia, Alize Cornet, Pauline Parmentier, Fiona Ferro dan kapten Julien Benneteau meraikan kemenangan di atas podium selepas menewaskan Australia di Perth, Australia. – AP