Perancis selamatkan rakyat dari ‘bandar virus’

PARIS, 28 JAN – Perancis akan menghantar pesawat pada Khamis untuk memulakan pemindahan rakyatnya dari Wuhan, bandar China pusat penyebaran koronavirus dalam penghantaran balik pertama oleh negara Eropah.

Kira-kira 500 ke 1,000 warga Perancis layak untuk penghantaran balik, Menteri Kesihatan, Agnes Buzyn memberitahu sidang akhbar, walaupun tidak semua mahu dihantar pulang dari zon tersebut ketika pihak berkuasa berkata virus tersebut telah menjangkiti beribu-ribu orang dan membunuh 106 orang setakat ini.

Pesawat pertama berkemungkinan akan kembali ke Perancis lewat Jumaat atau awal Sabtu, kata Buzyn. Mereka yang berada dalam penerba-ngan tersebut akan dibawa ke kemudahan penempatan di Paris, di mana mereka akan berada di sana untuk 14 hari – tempoh jangkaan pengeraman virus – untuk memastikan me-reka tidak membawa virus dan tidak menjangkiti kepada orang lain. Mereka yang menunjukkan gejala yang serupa kepada flu termasuk demam, akan dirawat dengan segera. Timbalan Menteri Pengangkutan, Jean-Baptiste Djebbari memberitahu televisyen CNews, penerbangan itu hanya akan membawa penumpang ‘yang tidak mempunyai gejala’ penyakit.

Pesawat kedua akan membawa pulang ‘orang yang berkemungkinan membawa virus’ tetapi rancangan itu belum diputuskan tarikhnya, katanya.

“Beberapa pesawat akan mengikutinya,” tambah Buzyn, dalam usaha untuk tidak mencampurkan orang yang berpotensi dijangkiti dengan mereka yang sihat dalam penerbangan yang sama. – AFP

Gambar fail menunjukkan para penumpang ketika menjalani pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe. – AP