Perancis tutup 22 buah sekolah

PARIS, 4 SEPT – Menteri pendidikan Perancis hari ini berkata 22 buah sekolah telah ditutup di wilayah Perancis akibat koronavirus selepas pelajar-pelajar kembali ke sekolah minggu ini, menegaskan bahawa lebih separuh daripadanya terletak di pulau La Reunion di Lautan India.

Menteri pendidikan, Jean-Michel Blanquer memberitahu radio Europe 1 bahawa beliau bagaimanapun berpuas hati dengan cara pengembalian ke sekolah diadakan sejak kanak-kanak di seluruh negara kembali pada Selasa.

Sebanyak 10 sekolah ditutup di Perancis dan 12 di La Reunion, di mana terdapat lonjakan kes koronavirus baru-baru ini, katanya. Perancis mempunyai kira-kira 60,000 buah sekolah di seluruh negara.

Sehingga 130 buah kelas telah dihentikan di sekolah-sekolah dan menteri berkata pihak berkuasa telah menyiasat kira-kira 250 kejadian yang berkaitan dengan COVID-19 di sekolah setiap hari.

Kejadian sebegini kebanyakannya berkaitan dengan ‘faktor di luar sekolah mengenai orang yang mungkin dijangkiti’ sepanjang musim panas, katanya.

Jika sekolah melaporkan lebih dari tiga kes koronavirus, sekolah akan ditutup sementara, katanya.

Tetapi beliau menambah minggu pertama telah berjalan ‘dengan baik’ dan meskipun kebimbangan semua orang kembali dan ini membuatkan saya gembira,” tambahnya. – AFP