Perancis, UK ikrar bertindak selepas tragedi maut di Terusan

CALAIS, PERANCIS, 25 NOV – Britain dan Perancis hari ini mempertimbangkan untuk melaksanakan langkah baharu dalam mengehadkan migrasi di seluruh Terusan dan menumpaskan rangkaian penyeludupan manusia selepas kira-kira 27 penghijrah cuba untuk tiba di England mati lemas di luar pantai utara Perancis.

Insiden itu adalah kemalangan paling maut sejak Terusan pada 2018 menjadi hab bagi penghijrah dari Afrika, Timur Tengah dan Asia yang menggunakan bot kecil untuk sampai ke England dari Perancis.

Presiden Emmanuel Macron, selepas berikrar Perancis tidak akan membenarkan Terusan menjadi ‘liang lahad’, bercakap kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson untuk bersetuju mempertingkatkan usaha menggagalkan penyeludup yang disalahkan atas pertambahan dalam penyeberangan itu.

Perdana Menteri Jean Castex juga mengadakan mesyuarat krisis itu hari ini bersama menteri-menteri untuk membincangkan langkah baharu, kata pejabatnya.

Seramai 17 lelaki, tujuh wanita dan tiga kanak-kanak meninggal dunia apabila bot getah mengempis dan dimasuki air di luar utara Calais kelmarin, menurut pendakwa raya awam di Lille. – AFP

Penghijrah mengendong anaknya selepas diselamatkan ke pesisir di pantai Dungeness, England pada 24 November. – AFP