Perancis ulangi kemenangan

PARIS, 9 SEPT – Eduardo Camavinga menjadi pemain antarabangsa Perancis termuda dalam 96 tahun ketika Les Bleus menang ulangan final Piala Dunia 2018 pada saingan Liga Negara-Negara dengan mengatasi Croatia 4-2, awal pagi tadi.

Pemain tengah itu berusia 17 tahun sembilan bulan, menggantikan Ngolo Kante di Stade de France pada babak kedua dan dia hanya diatasi Julien Verbrugghe, pada usia 16 tahun 10 bulan pada 1906, dan Maurice Gastiger, pada usia 17 tahun empat bulan pada 1914.

“Saya selalu beraksi dengan pemain yang lebih berpengalaman dan saya rasa ianya telah meningkatkan kredibiliti saya dalam permainan,” katanya.

Pasukan juara dunia Didier Deschamps kini berada di kedudukan kedua berdasarkan perbezaan gol dalam Kumpulan A di belakang Portugal. Deschamps membuat tujuh perubahan terhadap pasukan yang menang di Solna dengan Wissam Ben Yedder dan Anthony Martial mengetuai serangan selepas Kylian Mbappe dijangkiti COVID-19.

Gol Antoine Griezmann, Dayot Upamecano, Olivier Giroud selain gol sendiri penjaga gol pelawat, Dominik Livakovic memastikan pasukan itu mengulangi final di Rusia dua tahun lalu. Bekas pemain Liverpool, Dejan Lovren membuka jaringan untuk pasukan pelawat pada perlawanan yang sepi tanpa penonton berikutan penularan pandemik. – AFP

Aksi Giroud ketika menjaringkan tendangan penalti semasa perlawanan menentang Croatia di Stadium Stade de France di Perancis. – AP