Perancis umum langkah batalkan lockdown

PARIS, 28 APRIL – Perancis hari ini mengumumkan bagaimana ia akan membatalkan ‘lockdown’ enam minggu secara beransur-ansur, kemungkinan membenarkan sekolah dibuka semula walaupun ketika restoran dan kafe masih ditutup.

Perdana Menteri Edouard Philippe akan membutirkan rangka tindakan kerajaan dalam satu ucapan di parlimen pada 1300 GMT, mengambil risiko di antara memulakan ekonomi dalam krisis sementara mengelak gelombang wabak kedua.

Ucapan Philippe akan diikuti oleh perdebatan dan pengundian, dengan 75 daripada 577 penggubal undang-undang dibenarkan dalam Perhimpunan Agung sejajar dengan langkah penjarakan sosial.

Manakala, yang lainnya akan mengundi menerusi proksi.

Presiden Emmanuel Macron, dengan parti LREM memegang majoriti dalam parlimen, mengumumkan ‘lockdown’ akan dibatalkan pada 11 Mei, tetapi butir-butir masih tidak jelas.

Penjual buku bercakap menerusi skrin perlindungan kepada seorang pelanggan yang mengambil pesanan di sebuah kedai buku di Neuilly-sur-Seine kelmarin. – AFP

Selain Britain, Itali dan Sepanyol, Perancis adalah salah sebuah negara Eropah yang paling teruk terjejas oleh pandemik COVID-19, dengan angka kematian mencecah 23,293 semalam.

Namun tanda-tanda menggalakkan mulai timbul, dengan jumlah pesakit dalam wad rawatan rapi dan di hospital mulai berkurangan selama beberapa hari.

Bagaimanapun, Macron berkata sekolah boleh dibuka semula secara beransur-ansur mulai 11 Mei, tidak seperti Itali, yang ditutup sehingga September.

Satu lagi isu yang akan diperhatikan adalah sama ada pemakaian penutup mulut dan hidung akan menjadi wajib dalam pengangkutan awam, yang dijangka menambah kapasiti mulai 11 Mei.

Philippe dijangka mengumumkan peruncit tertentu akan dibenarkan dibuka, menyertai pasar raya dan pembekal perkhidmatan lain yang meneruskan operasi sepanjang lockdown, dan melonggarkan sekatan ke atas perjalanan di antara bandar. – AFP