Perancis wajibkan mask di tempat awam

PARIS, 16 JULAI – Perancis akan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung (mask) di tempat awam yang tertutup bermula minggu hadapan, menurut pihak kerajaan hari ini, ketika pegawai mencatatkan peningkatan tanda-tanda penularan koronavirus.

Penutup mulut dan hidung akan menjadi mandatori di dalam kedai dan tempat-tempat tertutup yang lain yang sering dikunjungi oleh orang ramai, kata Perdana Menteri, Jean Castex dalam Senat.

Menteri Kesihatan, Oliver Veran sebelumnya menyatakan ‘tanda-tanda kebangkitan semula yang lemah’ dalam wabak koronavirus telah meragut lebih 30,000 nyawa di Perancis sehingga kini.

“Kita menyaksikan di hospital-hospital tertentu di Paris tanda-tanda lemah kebangkitan epidemik, sebab itu saya menggesa orang-orang Perancis untuk tetap berwaspada, aktif, melawan virus,” katanya kepada radio awam.

Dalam data rasmi terkini, yang dikeluarkan pada Rabu, Perancis telah menyaksikan 133 pesakit baharu koronavirus dimasukkan ke dalam hospital dalam tempoh 24 jam, dan 17 kemasukan baharu ke unit rawatan intensif.

Jumlah ini menurun daripada 4,281 orang yang dimasukkan ke hospital dalam satu hari pada bulan April.

Veran mengatakan peningkatan kemasukan ke hospital dan panggilan telefon ke perkhidmatan kecemasan adalah petunjuk, yang belum membimbangkan, yang memerlukan perhatian ‘khas’ kepada kemungkinan peningkatan epidemik.

Dengan kebanyakan perniagaan di Perancis telah dibuka semula, beberapa aktiviti berkumpulan kekal disekat dan kerajaan menyeru kepada orang ramai supaya bersikap bertanggungjawab untuk mencegah tercetusnya jangkitan gelombang kedua.

Selasa lalu, presiden Emmanuel Macron berkata penutup mulut dan hidung diwajibkan di tempat-tempat awam yang berkuat kuasa pada 1 Ogos depan. – AFP