Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perang mulut, ‘teknologi’ penyapu antara tumpuan GP Jepun

    SUZUKA, Jepun – Lewis Hamilton semakin menghampiri gelaran dunia kelimanya dengan kemenangan di Grand Prix Jepun baru-baru ini, kemenangan ke-71 peribadi dan 50 untuk Mercedes.

    Vettel hilang punca

    Sebastian Vettel menunjukkan bagaimana prestasinya jatuh merundum sejak musim panas apabila terlibat dengan kemalangan dengan Max Verstappen sehingga menyebabkan Ferrarinya terpusing di awal perlumbaan.

    Pemandu Jerman itu mendahului kejuaraan dengan lapan mata pada Julai lalu tetapi Hamilton menang enam daripada tujuh perlumbaan sejak itu dan telah mendahului dengan kelebihan 67 mata.

    Meskipun menyalahkan Verstappen atas pelanggaran itu, namun ulang tayang menunjukkan bahawa pemandu Ferrari itu adalah di pihak yang salah ketika musimnya terus hambar.

    Sebastian Vettel ketika menghadiri sidang media di GP Jepun baru-baru ini. Kemerosotan prestasi Vettel berterusan apabila terlibat dalam pelanggaran dengan Max Verstappen. – AFP
    Max Verstappen semasa hendak keluar dari keretanya selepas menamatkan sesi latihan di Suzuka. Max menyatakan rasa tidak puas hatinya selepas dikenakan penalti kerana melanggar Kimi Raikkonen hingga keluar litar. – AFP
    Lewis Hamilton memberikan tanda bagus semasa perarakan di Suzuka. Hamilton mendahului dengan kelebihan 67 mata selepas menang enam daripada tujuh perlumbaan. – AFP
    Pemandu Sauber, Charles Leclerc ketika memandu keretanya. Pemandu berusia 20 tahun itu, yang akan menggantikan Raikkonen di Ferrari musim depan. – AFP

    Jangan cari gaduh dengan Max

    Verstappen sudah menunjukkan siri kemarahan sejak mula-mula tiba di Formula Satu sebagai seorang remaja berusia 17 tahun pada musim 2015 dan sekali lagi di Jepun, berbalah dengan kedua pemandu Ferrari.

    Pemandu Belanda itu dikenakan potongan lima saat sebagai penalti kerana melanggar Kimi Raikkonen keluar dari litar, melepaskan kata-kata marah di radio pasukan selepas diumumkan mengenai hukuman itu.

    Dia menegaskan selepas perlumbaan bahawa steward itu ‘bodoh’ kerana mendendanya dan berang dengan tindakan Vettel, “Dia memandu ke tepi kereta saya, dia seharusnya lebih berhati-hati.”

    Leclerc tunjuk taring

    Pemandu Sauber, Charles Leclerc membuktikan bahawa dia mempunyai keberanian untuk menandingi kemahiran memandunya apabila dia memberikan kata dua kepada pesaing Haas, Kevin Magnussen selepas mereka berlanggar semasa Leclerc cuba memotong.

    Pemandu berusia 20 tahun itu, yang akan menggantikan Raikkonen di Ferrari musim depan, memberitahu mekaniknya bahawa hakikatnya Magnussen akan selamanya bodoh.

    Kedua-dua pemandu kemudian menarik diri dan Leclerc meneruskan serangannya selepas perlumbaan, “Saya baharu sahaja setahun dalam Formula Satu dan pastinya pemandu yang selalu buat masalah dengan saya pastinya Kevin.”

    Alonso mengamuk

    Fernando Alonso melepaskan kemarahannya dalam perlumbaan Formula Satu terakhirnya di Suzuka dengan mengherdik steward kerana penalti lima saat yang dikenakan ke atasnya selepas berlanggar dengan Lance Stroll dari Williams.

    Pemandu Sepanyol itu, yang terkenal kerana memalukan pembekal enjin McLaren, Honda tiga tahun lalu dengan berteriak “Enjin GP2, enjin GP2” di dalam radio pasukan, menganggap penalti itu sebagai ‘rambang’ dan berkata ia membuktikan ‘teruknya Formula Satu’.

    Juara dunia sebanyak dua kali, Alonso menamatkan perlumbaan di Jepun di kedudukan ke-14.

    ‘Teknologi’ penyapu Jepun menghairankan

    Peminat Formula Satu yang menyaksikan perlumbaan itu dari seluruh dunia membanjiri media sosial bagi mempersoalkan ‘penyapu lidi’ yang digunakan oleh kakitangan litar untuk membersihkan kawasan litar.

    Antara negara yang mempunyai teknologi canggih di dunia, para penganjur Jepun mengerahkan sepasukan kakitangan menggunakan penyapu lidi bagi membersihkan serpihan tayar kereta Magnussen dari Haas.

    Ia mencetuskan perdebatan global di media sosial ketika peminat Formula Satu bertukar-tukar pendapat mengenai ‘teknologi’ penyapu itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda