Perang perdagangan: Korea S, Jepun mulakan rundingan

SEOUL, 16 DIS – Korea Selatan dan Jepun memulakan rundingan peringkat tinggi di Tokyo pada hari ini sebagai langkah pertama untuk mencari penyelesaian dalam pertikaian perdagangan berbulan lamanya yang menjejaskan hubungan ekonomi serta berpotensi menggugat rantaian bekalan antarabangsa, lapor agensi berita Yonhap.

Mesyuarat itu merupakan yang pertama sejak Jun 2016 dan penting untuk menangani konflik perdagangan mereka.

Ia juga merupakan perhimpunan rasmi pertama pegawai perdagangan antara kedua-dua negara Asia selepas Seoul menggantung dengan bersyarat penamatan Perjanjian Maklumat Ketenteraan Untuk Keselamatan Awam (GSOMIA) dengan Jepun bulan lepas sebagai isyarat untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan itu.

Pada mesyuarat peringkat ketua pengarah, Korea Selatan dan Jepun bercadang untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan sistem kawalan eksport masing-masing, termasuk peraturan teknologi sensitif, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Hubungan antara Seoul dan Tokyo telah berdepan kebuntuan sejak Jepun mengenakan sekatan ke atas langkah mengeksport tiga bahan industri yang kritikal bagi industri cip dan paparan pada Julai.

Jepun kemudian menyingkirkan Seoul daripada senarai rakan kongsi pilihan. – Bernama