Perang perdagangan semakin hangat

WASHINGTON, 11 Julai – Amerika Syarikat (AS) telah menghangatkan lagi perang perdagangan, dengan mengugut akan mengenakan tarif baharu tambahan berjumlah AS$200 bilion ke atas barangan China seawal September ini, mencetuskan reaksi marah di Beijing.

Usaha terbaharu dalam konflik perdagangan yang meningkat di antara dua ekonomi teratas dunia berlaku beberapa hari selepas tarif balas balik ke atas barangan berjumlah AS$34 bilion dikuatkuasakan.

Penganalisis telah mengingatkan bahawa ketegangan perdagangan yang meningkat di antara dua penjana kewangan mungkin memberikan kesan negatif ke atas ekonomi global dan kesan teruk di seluruh dunia.

Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer lewat semalam menuduh China bertindak balas terhadap tarifnya “tanpa sebarang undang-undang antarabangsa yang wajar.”

Presiden Donald Trump telah mengarahkan jabatan perdagangan supaya “memulakan proses untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas pengimportan China dengan tambahan berjumlah AS$200 bilion,” kata Lighthizer dalam satu kenyataan.

Gambar yang diambil pada 6 Julai 2018 menunjukkan kapal kontena berlabuh di Qingdao, Wilayah Shandong. AS mengugut akan mengenakan tarif baharu tambahan berjumlah AS$200 bilion ke atas barangan China seawal September ini. – AP

Para pegawai akan mengadakan mesyuarat pada lewat Ogos mengenai senarai produk yang disasarkan dan seorang pegawai pentadbiran berkata ia akan mengambil masa dua bulan untuk memuktamadkan senarai tersebut, di mana Trump akan memutuskan sama ada meneruskan dengan tarif itu.

Matlamat akhir adalah mengenakan tarif ke atas 40 peratus pengimportan China, kadar yang sama untuk barangan AS yang dikenakan oleh Beijing, beritahu pegawai kepada wartawan.

Jika langkah tersebut dikuatkuasakan, ia bermakna cukai baharu dikenakan ke atas beribu-ribu produk ikan hingga ke bahan kimia, logam dan tayar.

Memberikan reaksi terhadap pengumuman Washington, seorang pegawai kanan perdagangan di Beijing menuduh Amerika Syarikat ‘menjejaskan peraturan ekonomi dunia’ dan berkata tarif balas balik akan ‘memusnahkan’ perniagaan di antara kuasa besar berkenaan.

“Penguatkuasaan tarif besar-besaran di antara China dan AS jelasnya akan memusnahkan perdagangan Sino-AS,” beritahu penolong menteri perdagangan Li Chenggang semasa forum di Beijing.

Dasar AS “sebenarnya mengganggu proses globalisasi ekonomi” dan “merosakkan peraturan ekonomi dunia,” dakwa Li. – AFP