Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Perangkaan: Petunjuk keyakinan perniagaan M’sia kekal positif pada suku ketiga 2022

    KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Sentimen perniagaan terus menunjukkan perkembangan positif pada suku ketiga 2022 dengan petunjuk keyakinan +4.7 peratus berbanding +3.5 peratus pada suku kedua 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    Jabatan itu menjelaskan mengikut sektor, sektor perkhidmatan dan industri menjangkakan situasi perniagaan menggalakkan pada suku ketiga 2022.

    “Sektor perkhidmatan menjangkakan prestasi yang lebih baik dengan petunjuk keyakinan +13.6 peratus pada suku tahun rujukan daripada +5.6 peratus pada suku tahun lalu. Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor industri kekal positif dengan mencatatkan +6.6 peratus berbanding +0.8 peratus pada suku kedua 2022.

    “Sentimen positif oleh kesemua subsektor iaitu pertanian, perlombongan, pembuatan serta elektrik dan air mendorong kepada prospek yang lebih baik,” menurut DOSM dalam kenyataan mengenai Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Ketiga 2022 yang dikeluarkan pada Khamis.

    Menurut jabatan itu, sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan dengan -5.8 peratus berbanding +15.5 peratus pada suku kedua 2022 manakala sentimen dalam sektor pembinaan kekal negatif dengan petunjuk keyakinan -24.9 peratus, susut daripada -23.2 peratus.

    Melihat kepada prospek perniagaan bagi separuh kedua 2022, prospek menyederhana dengan imbangan bersih +12.2 peratus daripada +25.0 peratus yang dicatatkan bagi tempoh April hingga September 2022, tambahnya. “Sentimen dalam sektor perkhidmatan bertambah baik dengan imbangan bersih +26.5 peratus berbanding +23.6 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

    “Semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan menjangkakan prospek positif untuk enam bulan akan datang di mana subsektor insurans, pentadbiran dan khidmat sokongan serta kesihatan merupakan subsektor yang paling optimistik,” jelasnya.

    Menurut DOSM pada masa yang sama, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +14.5 peratus berbanding +22.1 peratus.

    Walau bagaimanapun, sektor perdagangan borong dan runcit berubah pesimistik terhadap situasi perniagaan bagi enam bulan akan datang berakhir Disember depan dengan imbangan bersih -10.4 peratus daripada +50.0 peratus, jelasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...