Oleh Amri HTZ
MEMBERSIHKAN halaman rumah merupakan suatu pekerjaan yang harus dilakukan bagi mengelakkan binatang-binatang dan serangga perosak bersarang atau membiak. Namun kerja-kerja membersihkan halaman setentunya terganggu dengan kehadiran nyamuk.
Bukan sahaja gigitan yang menjengkelkan, malahan serangga ini boleh memudaratkan kesihatan daripada penyakit bawaannya seperti virus denggi dan Zika. Untuk itu, menghapuskan nyamuk adalah penting dan membuat sendiri perangkap nyamuk lebih menjimatkan.
Barang-barang yang diperlukan
Dalam proses pembuatan ini, beberapa barangan diperlukan untuk merekanya iaitu pita perekat, botol air atau minuman bersaiz satu liter setengah, pisau pemotong dan tali. Manakala bagi bahan-bahan yang akan dijadikan umpan atau daya tarikan untuk nyamuk adalah satu perempat cawan gula atau gula Melaka, secawan air sederhana panas dan satu sudu yis.
Proses pembuatan
Perangkap nyamuk yang serba mudah ini merupakan perangkap yang murah dan terdiri daripada bahan-bahan organik. Ia selamat untuk digunakan sama ada dalam rumah ataupun di luar rumah. Proses pembuatan yang hanya mengambil masa beberapa minit untuk dihasilkan bukan sahaja mudah dan murah, malahan apabila ia sudah tidak digunakan lagi, botol plastik yang digunakan boleh di kitar semula bagi mengurangkan impak pemanasan global.
Pada langkah pertama, potongkan botol yang telah disediakan satu pertiga daripadanya mulai daripada bahagian penutup botol. Gunakan pisau pemotong bagi memudahkan proses pemotongan. Penggunaan botol bekas minuman yang dilapisi dengan plastik penutup adalah amat digalakkan kerana nyamuk gemar berlindung di tempat-tempat yang gelap. Bahagian yang telah dipotong tadi yang akan dijadikan pintu perangkap, jika bahagian luarannya dilapisi dengan plastik, ianya perlu dibuang terlebih dahulu sebelum melekatkannya dengan menggunakan pita perekat.
Setelah selesai melekatkan pintu perangkap dengan menggunakan pita perekat, anda boleh beralih ke yang langkah kedua. Melihat kepada sifat semula jadi nyamuk yang tertarik dengan karbon dioksida yang dihembuskan melalui pernafasan makhluk berdarah panas,ini menjadikan manusia sebagai sasaran mudah untuknya mencari makanan.
Bagi meniru proses penghasilan karbon dioksida ini, bahan seperti yis amat diperlukan untuk menghasilkannya.
Sediakan satu bekas kosong yang akan digunakan bagi tempat mencampurkan bahan-bahan untuk menghasilkan karbon dioksida. Panaskan air sehingga menjadi sederhana panas dan tuangkan pada bekas yang disediakan. Campurkan air tersebut dengan gula dan gaulkan sehingga gula yang dicampurkan tadi larut dalam air tersebut. Setelah itu masukan sesudu yis dan larutkan sehingga tiada ketulan yis yang masih terhasil.
Dalam proses penghasilan karbon dioksida ini, perlu diingatkan air yang digunakan perlulah dalam keadaan sederhana panas. Jika ianya dalam keadaan terlalu panas, penghasilan karbon dioksida akan gagal kerana yis yang dicampurkan tadi tidak dapat menjalankan proses penapaian kerana sel-sel di dalamnya telah mati.
Bahan-bahan yang dicampurkan tadi bolehlah dimasukkan ke dalam botol perangkap yang disediakan. Tuangkan dengan perlahan sehingga paras air hampir mencecah pada bahagian mulut perangkap.
Untuk meletakkannya, anda perlu memilih kawasan yang strategik untuk memerangkapnya. Pastikan kawasan tersebut terlindung daripada hujan dan panas. Selain itu, perangkap tersebut juga boleh diletakkan dalam keadaan tergantung dengan hanya perlu mengikatkannya dengan menggunakan tali.
Bahan-bahan yang dicampurkan tadi setentunya tidak akan menghasilkan karbon dioksida dengan segera. Ia memerlukan masa untuk bertindak balas dengan bahan-bahan yang telah dicampurkan tadi. Pada kebiasaannya, bagi menghasilkan karbon dioksida, ia memerlukan masa lebih kurang 20 hingga ke 30 minit bagi yis untuk bertindak balas pada bahan lainnya.
Bagi memastikan bahan-bahan yang dicampurkan menghasilkan karbon dioksida, air dalam botol tersebut akan menghasilkan buih-buih kecil (seperti minuman berkarbonat) yang timbul ke permukaan.
Dengan daya tarikan yis yang telah menghasilkan karbon dioksida ini, nyamuk akan segera menuju ke tempat di mana terhasilnya karbon dioksida tersebut. Apabila ia memasuki pintu perangkap, secara automatik sukar baginya untuk keluar semula memandangkan pintu perangkap yang berbentuk kon menghalangnya untuk naik ke permukaan selain pintu perangkap yang kecil dan berada pada tengah permukaan botol.