Peranti ciptaan pelajar S’wak jadi tumpuan antarabangsa

KUCHING, 6 MAC – Seorang pelajar dari Sarawak Joseph Chung Ming Chong (gambar bawah) telah membanggakan Malaysia selepas satu prototaip peranti dinamakan ‘Smart e-Saver’ menjadi tumpuan antarabangsa baru-baru ini.

Pelajar sekolah Tuanku Putra-HELP di sini baru sahaja pulang daripada menyertai Persidangan ‘Global Ministerial’ Ketiga mengenai Keselamatan Jalan Raya di Stockholm, Sweden Februari lepas, di mana beliau menyampaikan pembentangan mengenai peranti tersebut yang berfungsi memberikan amaran mengenai masih ada penumpang di kerusi keselamatan kanak-kanak, di dalam kenderaan yang diparkir.

“Saya dijemput ke persidangan itu selepas memenangi pingat emas untuk ciptaan saya di Cabaran Inovator Muda di Kuala Lumpur pada 2018 dan ada 14 finalis lain pada pertandingan tersebut,” katanya selepas menerima anugerah Penyelidikan dan Inovator Muda Tuanku Putra-HELP, di sekolah tersebut hari ini.

Katanya peranti tersebut berfungsi dengan mengaktifkan sensor terma pada tempat duduk yang akan mengeluarkan amaran, sebaik sahaja enjin kereta dimatikan dan menghantar satu lagi amaran kepada telefon pintar pemandu lima minit kemudian, jika kanak-kanak tersebut masih berada di atas tempat duduk tersebut.

Chung berkata, jika masih tiada sebarang tindakan untuk mengambil kanak-kanak tersebut daripada kerusi itu selepas 10 minit, peranti itu akan menghidupkan sistem keselamatan kenderaan, selain menghantar maklumat kenderaan itu dan kedudukannya melalui sistem kedudukan global (GPS) kepada pihak polis dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berjaya mempatenkan peranti tersebut Januari lepas dan berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan sewaktu di Sweden, beliau kini melihat kemungkinan kerjasama dengan pengeluar kerusi keselamatan kanak-kanak, yang mahu menggabungkan ciptaan beliau itu dengan produk mereka.

“Berita mengenai kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan yang diparkirkan dan malah ada yang menemui maut akibat strok haba, telah memberikan saya idea untuk menghasilkan peranti ini, yang mana saya harap akan digunakan secara meluas pada masa hadapan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada kejadian seperti itu,” katanya. – Bernama