Peranti elektronik akan diguna

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat akan menggunakan peranti (kemungkinan gelang) yang akan dipakaikan kepada mereka yang dikuarantin bagi memastikan pemantauan rapi dapat dilaksanakan.

Ini kerana petugas barisan hadapan tidak dapat berada berdekatan dengan orang yang dikuarantin dalam masa 24 jam ketika mereka berada di rumah dan peranti pula hanya akan digunakan apabila sistemnya sudah pun tersedia. Apabila ia tersedia, pemantauan akan dibuat dari jauh dan jika ada yang keluar dari rumah, Kementerian Kesihatan akan mengetahui orang yang dikua-rantin melanggar perintah dan mencari mereka sewajarnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan mengenai penggunaan peranti itu dalam sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan rekod sifar jangkitan COVID-19, menjadikan kes keseluruhan kekal 136 orang.

Sementara itu, satu kes telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah dari Pusat Pengasingan Kebangsaan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh seramai 108 orang.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menerangkan mengenai penggunaan peranti dalam sesi soal jawab pada sidang media tersebut.
Gambar menunjukkan peranti elektronik berupa gelang digunakan Kementerian Kesihatan Bahrain bagi tujuan pemantauan COVID-19. Negara Brunei Darussalam akan memperkenalkan peranti serupa bagi memantau orang yang dikuarantin dalam pandemik COVID-19 yang melanda negara. -Agensi

Ini bermakna jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini ialah seramai 27 orang di mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, dan selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Dalam kemas kini itu juga, Yang Berhormat Dato menjelaskan seramai 81 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,394 orang.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 229 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang menjadikan jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari lepas kepada 10,579 ujian yang membawa kepada nisbah 1 dalam 41 orang telah dibuat pemeriksaan COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga memaklumkan bahawa salah satu daripada kes yang telah sembuh dan dimasukkan semula ke Pusat Pengasingan Kebangsaan selepas didapati positif pada pemeriksaan susulan, telah dibenarkan pulang hari ini.

“Ini adalah berikutan beberapa ujian makmal susulan yang dilakukan di Pusat Pengasingan Kebangsaan mendapati beliau negatif bagi virus SARS-CoV-2. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, beliau akan menjalani pengasingan diri selama 14 hari lagi di rumah,” jelas Yang Berhormat Dato.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.