Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Peranti halo selamatkan dua pemandu

    SILVERSTONE, UNITED KINGDOM, 5 JULAI – Formula One (F1) kelmarin telah bersatu dan memberi sanjungan kepada badan induk sukan itu serta peranti halonya kerana menyelamatkan dua nyawa dalam kemalangan ngeri semasa Grand Prix British pada Ahad lalu.

    Dalam perlumbaan sengit yang dimenangi oleh pelumba Ferrari, Carlos Sainz, pelumba baharu China, Zhou Guanyu dilaporkan terselamat daripada kemalangan semasa pusingan pembukaan yang berkelajuan tinggi di mana keretanya melantun dan terbalik di litar asfalt dan menghentam penghadang.

    Kereta Alfa Romeo milik Zhou telah mengalami kerosakan teruk, tetapi pemandu berusia 23 tahun itu terselamat dengan ajaib dalam keadaan tidak cedera disebabkan peranti pelindung kokpit halo yang diperbuat daripada titanium yang melindunginya.

    Halo itu diasaskan oleh Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) yang diketuai oleh pengarah perlumbaan dan delegasi keselamatan, Charlie Whiting.

    Dia sebelum ini menerima tentangan daripada golongan tradisional F1, termasuk juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dan ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff yang mahu mengekalkan kokpit terbuka.

    Sebelum bukti yang menakjubkan pada Ahad lalu sekali gus mengakhiri semua tentangan tersebut, halo telah membantu menyelamatkan beberapa orang pemandu lain daripada kecederaan serius atau lebih teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Antara pemandu yang terselamat termasuk Charles Leclerc di Grand Prix Belgium 2018, Romain Grosjean di Grand Prix Bahrain 2020 dan Hamilton pada acara Itali tahun lepas apabila dia bertembung dengan pesaing gelaran dan juara Max Verstappen.

    Di Silverstone, Zhou berjaya menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam keretanya hanya beberapa saat selepas perlumbaan dimulakan.

    “Saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Terima kasih atas sokongan awda,” menurut ciapan Zhou. – AFP

    Pemandu China, Zhou Guanyu mengalami kemalangan selepas berlanggar dengan pemandu Mercedes pada permulaan pusingan Grand Prix British F1 pada Ahad lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...