Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranti kesihatan baharu janjikan lebih data terperinci

    LAS VEGAS, 10 JAN- Peranti kesihatan yang boleh pakai atau wearable technology telah lama berkembang antaranya keupayaan mengira bilangan langkah dalam sehari atau mengesan dan mengira degupan jantung pengguna.

    Turut tersenarai adalah teknologi baharu yang berupaya mengesan pengoksigenan darah, paras glukosa dan tekanan darah, walaupun ramai kurang percaya.

    Beberapa produk paling canggih telah dipamerkan minggu ini di Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas.

    Hampir 10 tahun sejak kemunculan pertama Apple Watch, pasaran global untuk ‘pengesan’ seperti jam tangan, gelang dan beberapa jenis lain yang dinilai sekitar AS$60 bilion dan dijangka melangkau AS$100 bilion menjelang akhir tahun 2020an.

    “Sebelum kewujudan jam tangan pintar, tiada siapa yang memikirkan tentang pemantauan kadar jantung. Hari ini, semua orang cukup sedar betapa ianya penting,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden syarikat pemula teknologi kesihatan MindMics, Anna Barnacka.

    MindMics menyediakan fon kepala dilengkapi teknologi berasaskan gelombang untuk menawarkan analisis lengkap aktiviti jantung pengguna termasuk keadaan dan fungsi injap jantung.

    “Awda boleh melihat hati awda dengan ketepatan alat peranti perubatan,” kata Barnacka.

    Dalam ujian klinikal, Barnacka berkata peranti itu mampu mengesan stenosi aorta iaitu penyempitan injap jantung.

    Pada masa ini, mendiagnosis stenosis aorta memerlukan pelbagai ujian, termasuk memasukkan probe ke dalam arteri.

    Satu lagi produk boleh pakai di CES ialah Stelo oleh syarikat pemula DexCom, satu tampalan pada badan yang mampu mengukur paras gula dalam darah secara berterusan.

    Tampalan sedemikian biasanya dikhaskan untuk pesakit kencing manis, tetapi Stelo mengatakan, “jika awda mempunyai pradiabetes atau hanya berminat untuk memahami bagaimana makanan berbeza memberi kesan kepada badan awda,” kata ketua pegawai operasi DexCom, Jake Leach.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan 100 juta rakyat Amerika menghidap pradiabetes iaitu paras gula tinggi dalam darah yang berada di bawah ambang untuk diabetes.

    “Sebahagian besar daripada mereka tidak tahu bahawa mereka mempunyai pradiabetes kerana mereka tidak menjalani ujian,” kata Leach.

    Peranti yang lain pula boleh mengesan apnea tidur dengan mengambil bacaan tekanan darah atau melaporkan aritmia jantung.

    Namun, sebahagian daripada komuniti perubatan dan para ahli sains ragu-ragu tentang data yang dikumpul oleh peranti boleh pakai ini.

    “Saya pasti produk sebegini bermanfaat, jadi saya tidak mahu kedengaran seperti saya meragui kesemuanya. Tetapi secara jujurnya, proses kelulusan adalah menyedihkan,” kata Diana Zuckerman, presiden Pusat Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan (NCHR).

    Beliau merujuk kepada protokol pengesahan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA), yang mempunyai kuasa mengenai kelulusan penggunaan peranti tersebut.

    Peranti yang disambungkan, “tidak diuji dengan ketat” seperti ujian dadah, katanya.

    “Satu-satunya cara saya dapat mengetahui sama ada kualiti data itu bertambah baik adalah jika ia disediakan secara terbuka dengan cara yang boleh dinilai oleh seseorang seperti saya,” yang tidak selalunya berlaku, kata Zuckerman.

    Sebahagian peranti seperti dari DexCom dan MindMics, telah dijalankan kajian bebas oleh doktor dan penyelidik, yang telah mengiktiraf keberkesanannya untuk parameter tertentu.

    Tammy Brady, profesor di Universiti Johns Hopkins yang pakar dalam hipertensi kanak-kanak, merasa sangsi dengan tentang keputusan yang dihasilkan oleh peranti-peranti digital seperti gelang, jam tangan, cincin dan lain-lain.

    “Memanglah bagus apabila semakin ramai tahu tentang tekanan darah sendiri,” katanya, “tetapi buat masa ini, bacaan daripada alat-alat masih kurang tepat untuk digunakan secara pasti.”

    Sebagai ahli jawatankuasa pemantau tekanan darah, Tammy Brady bekerjasama dengan Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa, pemula piawaian ISO yang terkenal.

    “Kami berharap sebaik sahaja wujud piawaian ISO untuk mengesan tekanan darah dengan cara ini, ” katanya, “ia akan membantu pengeluar dan FDA menjalankan ujian terhadap alat-alat ini dengan teliti.” – AFP

    Pempamer menunjukkan jalur pelega hidung magnetik Intake untuk mengesan tahap oksigen dalam pernafasan dipamer di CE, Las Vegas, Nevada pada 7 Januari 2025. – AFP
    Jam tangan pintar untuk kesihatan Withings ScanWatch Nova di CES, Las Vegas, Nevada pada 7 Januari. – AFP
    Pengesan tandas pintar, Vivoo untuk memantau dehidrasi melalui air kencing dipamer di CES,Las Vegas, Nevada pada 7 Januari. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda