Peranti pertama ‘Redmi by Xiaomi’

REDMI Note 7, telefon pintar pertama daripada sub jenama ‘Redmi by Xiaomi’, telah dilancarkan di China dengan mengetengahkan sensor 48MP pada tetapan dua kamera di belakang.

Telefon pintar ini juga mempunyai takuk berbentuk titisan air, sensor cap jari pada panel belakang dan bateri 4,000mAh. Ia juga menampilkan perlindungan kaca 2.5D di depan dan belakang serta didatangkan dengan paparan besar bersaiz 6.3 inci.

Seperti yang telah disebutkan, Redmi Note 7 adalah telefon pintar pertama yang dilancarkan selepas Xiaomi mengumumkan bahawa Radmi akan beroperasi sebagai jenama bebas.

Bagi spesifikasinya, peranti dwi-SIM (Nano) ini menggunakan MIUI 9 berasaskan Android Oreo dan menampilkan paparan LTPS full-HD+ (1080×2340 piksel) 6.3 inci dengan nisbah bidang 19.5:9, kecerahan 450 nits, gamut warna NTSC 84 peratus, Corning Gorilla Glass 5 dan perlindungan kaca melengkung 2.5D.

Ia dikuasakan SoC lapan teras Snapdragon 660 2.2GHz yang dipadan-kan dengan grafik Adreno 512 dan pilihan RAM 3GB, 4GB dan 6GB. Pilihan storannya pula ialah 32GB atau 64GB yang boleh ditambah menerusi slot kad mikroSD (sehingga 256GB).

Untuk mengambil gambar, Redmi Note 7 dilengkapi dua kamera belakang, satu sensor Samsung GM1 48MP dengan
apertur f/1.8 dan satu lagi sensor 5MP.

Kamera belakang menyokong denyaran dwi-LED monokrom, PDAF dan dikatakan dipertingkatkan dengan ciri perisian disokong AI seperti mod potret, latar belakang kabur, HDR, mod pemandangan malam super, EIS, rakaman video 1080p dan banyak lagi.

Di depan pula terdapat sensor selfie 13MP dengan ciri AI Face Unlock, ‘AI smart beauty’, ‘AI single shot blur’, HDR depan, latar belakang kabur dan banyak lagi.

Redmi Note 7 didatangkan bateri 4,000mAh dengan sokongan Quick Charge 4 dan dikatakan mampu bertahan 251 jam masa standby, 23 jam masa bercakap, 13 jam menonton video dan 7 jam bermain permainan video.

Peranti ini menyokong sambungan USB Type-C port, jek audio 3.5mm, 4G VoLTE, GPS, AGPS, GLONASS, Bluetooth v5 dan Wi-Fi 802.11a/b/g/n/ac.

Sensor-sensornya pula termasuk giroskop, akselerometer, sensor jarak,
kompas elektronik, sensor cap jari, sensor cahaya ambien, motor getaran dan sensor inframerah. Redmi Note 7 mempunyai ukuran 159.21×75.21×8.1mm dan berat 186g.