Perasmian Akademi Dakwah 2.0

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Peranan dakwah penting untuk memberikan impak positif kepada pembentukan masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai cara hidup selamanya.

la adalah suatu perkara yang mencabar namun ia juga suatu kewajiban yang tidak boleh diketepikan sama sekali serta perlu dilaksanakan oleh setiap individu dan masyarakat.

Para belia masa kini perlu didedahkan kepada suasana kehidupan masyarakat yang saling tegur-menegur atau istilah dalam Al-Quran menyebutnya amar makruf nahi mungkar (iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran).

Ia agar masyarakat khususnya belia dapat menghindarkan diri daripada kebinasaan kehidupan duniawi dan ukhrawi, tekan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian dan Orientasi Akademi Dakwah 2.0 di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengingatkan, walaupun peranan dakwah penting dijalankan oleh para belia, namun undang-undang negara juga perlu diperhatikan. Misalnya, keperluan untuk mendapatkan kebenaran berceramah daripada Majlis Ugama Islam Brunei.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Perasmian dan Orientasi Akademi Dakwah 2.0 di Dewan Persidangan, PDI.
Antara yang hadir pada majlis perasmian dan orientasi tersebut.

Jelasnya, undang-undang ini tidak bertujuan mengekang kemahiran para belia untuk berdakwah, justeru menjadi kekuatan dan pasport bagi seorang daie dalam menyampaikan kebenaran kerana akan mendapatkan kepercayaan masyarakat dan jauh daripada diragui atau dipersoalkan.

“Maka saya yakin program (Akademi Dakwah) ini akan membantu para peserta melalui sukatan-sukatan yang ditetapkan (teori mahupun praktikal) untuk mengetahui lebih dalam tentang metode-metode berdakwah yang sesuai ajaran Al-Quran dan sunnah Rasul,” ujar beliau.

Terdahulu itu, menyentuh mengenai program berkenaan, beliau melahirkan kepercayaan bahawa ia amat perlukan untuk para belia di negara ini kerana program itu mempunyai visi jelas untuk melahirkan golongan-golongan pendakwah muda daripada kalangan belia kitani sendiri.

“Lebih penting lagi bahawa program ini diungkayahkan sepenuhnya oleh sukarelawan belia yang telah diberikan kepercayaan oleh PDI di bawah bimbingan Program Keugamaan Belia (PKB),” tambahnya.

Pada majlis anjuran Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Daie PDI dengan kerjasama PKB di bawah KHEU itu, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz melancarkan program yang diikuti dengan video pembukaan Akademi Dakwah 2.0.

Majlis juga diselajurkan dengan bacaan ikrar oleh seramai 48 orang peserta yang terdiri daripada daie berdaftar di bawah Badan Sukarelawan Belia Daie dan orang awam yang berjaya.

Sesi pengajian program berkenaan bakal bermula pada 19 Januari ini hingga 26 Mei depan dengan enam sesi akan diadakan.

Para peserta dikehendaki untuk bermalam di asrama PDI sepanjang sesi diadakan dan mereka dikehendaki mengikut peraturan-peraturan yang telah dinyatakan oleh ahli jawatankuasa.

Program bertujuan untuk memberikan kesedaran terhadap kepentingan berdakwah dengan cara yang betul, sebagai didikan dan tarbiyah bagi para belia serta melahirkan daie daripada kalangan belia yang dapat melaksanakan dakwah dalam bidang tertentu.

Akademi berkenaan juga sebagai pendedahan kepada orang awam mengenai penubuhan belia daie sebagai wadah untuk berdakwah khususnya golongan muda.