MASJID Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku telah merasmikan Kelab Belia Remaja Ashabul Haliim yang telah ditubuhkan pada tahun 2015, baru-baru ini. Kelab ini diselenggarakan di bawah naungan Masjid berkenaan dan dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Kelab ini dianggotai seramai 45 orang belia dan beliawanis yang terdiri daripada pelajar dan juga graduan lepasan universiti. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Belia Ashabul Haliim, Awang Tarmizi bin Haji Abu Bakar dan kemudian ucapan daripada tetamu kehormat.
“Fungsi kelab perlu dimanfaatkan untuk kepentingan orang ramai dan kreatif dalam berdakwah dan menjalankan pelbagai aktiviti seperti aktiviti berbasikal,” kata Haji Amir Hisham dalam ucapannya.

Kelab ini ditubuhkan untuk mengimarahkan masjid dengan aktiviti-aktiviti yang membangun jiwa dan minda melalui pendekatan dakwah kreatif seiring dengan perkembangan globalisasi.
Selain itu, kelab ini juga berfungsi untuk memanfaatkan potensi belia-belia dalam sama-sama membangunkan negara dan banyak lagi.
Objektif
Dengan perasmian kelab ini, ia diharap akan terus menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara belia masjid dan takmir masjid seterusnya sebagai langkah awal bagi memperbanyakkan kerjasama di masa yang akan datang.