Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Khairil Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) hari ini memperkenalkan kompleks sukan baru di premis sekolah berkenaan yang terletak di Lebuh Raya Tungku Link.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan bangunan baru itu ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Terlebih dahulu berucap di majlis itu ialah Pengetua JIS, yang menegaskan penubuhan kompleks sukan yang baru ini dihasratkan akan menjadi tempat para pelajar dan warga sekolah untuk menyahut baik visi melahirkan warga Brunei yang sihat.
Selain menjadi tempat bersukan, ia juga diharapkan akan menjadi tempat mencari bakat baru dalam bidang sukan di kalangan pelajar dan sesiapa sahaja yang menggunakan bangunan berkenaan.
