Perasmian kursus 3rd World Cafe 2019

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Sebagai usaha untuk mempersiapkan para pemimpin sekolah agar sentiasa bersedia dan meningkat kecekapan mereka dalam mentabir, Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kursus 3rd World Cafe 2019 hari ini di Dewan Serba Guna Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Perhubungan Awam, Dayang Sharinah binti Haji Awang Suhaimi, yang kemudian berkesudian untuk melancarkan kursus tersebut.

Terlebih dahulu bagi memberkati majlis, Surah Al-Fatihah dibacakan oleh Pengetua Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Haji Juma’ata Sonadey bin Haji Mornie.

3rd World Cafe merupakan satu proses komunikasi bagi perkongsian ilmu, di mana beberapa kumpulan akan membincangkan satu topik di beberapa buah meja, dengan menyaksikan setiap individu berpindah-pindah ke meja lain dari semasa ke semasa dan kemudian disampaikan kepada mereka mengenai topik yang dibincangkan di meja baharu mereka oleh ‘hos meja’.

Kursus tersebut diharap dapat mempersiapkan para pemimpin sekolah dalam menghadapi sebarang cabaran di dalam dan luar negara, yang memerlukan komuniti sekolah untuk bekerjasama untuk terus maju ke hadapan.

Satu sesi perkongsian turut diadakan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Negara Brunei Darussalam, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada para peserta yang terlibat dalam kursus tersebut.

Semasa pelancaran kursus 3rd World Cafe 2019.
Antara yang hadir pada Majlis Pelancaran 3rd World Cafe 2019 di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.