Peraturan baharu tidak jejas tumpuan kem silat M’sia

HANOI, 12 MEI – Meskipun menyedari bakal berdepan cabaran apabila peraturan baharu dilaksanakan sepenuhnya dalam acara tanding pada Sukan SEA ke-31, kem pencak silat Malaysia tidak mahu peraturan itu menjejaskan tumpuan mereka dalam melaksanakan misi meraih dua pingat emas.

Antara peraturan baharu itu ialah pesilat dibenarkan membuat pukulan dan tendangan lebih bebas terhadap pihak lawan termasuk menggunakan siku dan lutut kecuali pada tiga anggota badan iaitu kepala, lutut dan kemaluan.

Selain itu, mata jatuhan hanya akan direkodkan oleh ketua pertandingan manakala mata diberikan barisan juri perlu mendapat persetujuan lebih daripada dua juri yang menyaksikan kini hanya tiga juri bertugas berbanding lima sebelum ini.

Peraturan baharu itu yang menjadikan pertandingan pencak silat lebih ekstrem, adalah nilai tambah kepada potensi sukan tersebut untuk dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2036.

Skuad pencak silat kebangsaan Malaysia terdiri daripada 28 atlet menyasarkan tiga pingat emas iaitu masing-masing dua emas menerusi acara tanding dan satu emas bagi acara seni pada temasya Sukan SEA kali ini. – Bernama