Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Peraturan pengasingan diri, urus jenazah COVID dikemas kini

    Oleh Syahmi Hassan & Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Kementerian Kesihatan telah meneliti beberapa langkah pengawalan berkaitan COVID termasuk pengurusan jenazah yang positif COVID, notis pengasingan diri, dasar melawat di hospital-hospital yang akan berkuat kuasa esok, 20 September.

    Perubahan itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, ujian ART tidak lagi diperlukan bagi mereka yang hendak berjumpa doktor dengan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.

    Bagaimanapun, mereka yang hendak melakukan rawatan dental, pesakit yang akan menjalani perubatan tertentu seperti bronkoskopi dan gastroskop, termasuk mereka yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan dan akan dimasukkan ke hospital adalah masih diperlukan menjalani ujian ART.

    Ujian ART juga digalakkan bagi pesakit di pusat-pusat kesihatan yang mempunyai gejala-gejala jangkitan dengan PCR hanya akan dilakukan terhadap pesakit tertentu.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengumumkan pengemaskinian langkah-langkah COVID. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap diKementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui. – Gambar oleh James Kon

    Sementara itu, katanya, notis pengasingan diri turut dihentikan dengan mereka yang mempunyai gejala jangkitan tetapi negatif ujian ART dinasihatkan untuk menggunakan Dasar Cuti Sakit Disahkan Sendiri (CSDS) atau surat pengesahan sakit daripada ibu bapa atau penjaga bagi pelajar-pelajar.

    “Kementerian Kesihatan turut memberi peringatan kes-kes positif ART perlu menjalani pengasingan diri mengikut Perintah Kuarantin di bawah Akta Penyakit Berjangkit dalam tempoh yang ditetapkan mengikut SOP yang ada pada masa ini,” tambahnya.

    Dalam pada itu, perubahan turut dibuat terhadap dasar melawat di mana kunjungan hanya dibenarkan pada waktu melawat yang ditetapkan sahaja.

    Yang Berhormat Dato turut menjelaskan jumlah pesakit yang berada di hospital adalah tidak lagi dihadkan, namun hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

    Mereka yang berhasrat untuk melawat perlu menunjukkan keputusan negatif ujian ART yang dibuat pada hari sama.

    Sementara itu, pelawat tidak dibenarkan melawat pesakit yang ditempatkan di holding ward atau wad isolasi, bagaimanapun, seorang penjaga berkemungkinan dibenarkan bersama pesakit tertakluk kepada penilaian dan kesesuaian keadaan pesakit.

    Manakala, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan untuk melawat.

    Semasa sidang media itu, Yang Berhormat Dato turut mengumumkan pengemaskinian tatacara pengurusan jenazah yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 secara langsung atau tidak langsung di mana pengurusan jenazah adalah tidak lagi perlu dilakukan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, malah boleh disempurnakan di masjid atau rumah.

    “Walau bagaimanapun, keluarga perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan seperti memakai sungkup muka, sarung tangan, apron dan pelindung muka semasa menguruskan jenazah.

    “Jenazah juga dibenarkan dikebumikan di mana-mana tanah perkuburan yang bersesuaian mengikut kehendak keluarga,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Sebagai peringatan, jenazah tidak boleh disempurnakan di rumah yang ada kes positif kerana mereka yang positif perlu menjalani kuarantin.

    Sementara itu, ujian ART juga tidak diperlukan bagi sebarang kematian yang berlaku di rumah dan boleh disempurnakan seperti biasa.

    Dalam pada itu, waktu operasi Pusat Swab, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pusat SARI, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait adalah bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari-hari bekerja dan ditutup pada setiap hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...