Peraturan tetap perlu dipatuhi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Hampir mustahil untuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengubah keputusan bagi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan kejayaan gemilang atlet jaguh Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli ‘dirompak’.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berpendapat sukar bagi IPC untuk merombak keputusan tersebut, selain jawatankuasa itu perlu menghormati peraturan Olahraga Para Dunia (WPA).

“Peraturan adalah peraturan. Peraturan dan undang-undang dibuat untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar,” katanya.

“Takkan mereka (IPC dan WPA) nak longgarkan peraturan hanya untuk menyelesaikan kes Malaysia, pada awalnya kenapa kita tidak mengikut peraturan ditetapkan,” tambah Zolkples.

Beliau juga berkata kontinjen negara dan juga rakyat Malaysia tidak seharusnya menyalahkan pasukan Ukraine, sedangkan mereka mempunyai hak untuk melakukan bantahan. – Bernama