Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peratusan aktiviti fizikal meningkat

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Semakin ramai penduduk negara ini melakukan aktiviti riadah, berlari, senamrobik, berjalan selepas Subuh atau selepas kerja, berbasikal dan sebagainya.

    Ini terbukti daripada kajian National Non-Communicable Diseases (NNCD) Steps Survey 2016 di mana peratus orang dewasa di negara ini yang aktif secara fizikal (physically active) telah meningkat daripada 65 peratus pada tahun 2011 kepada 75 peratus pada tahun 2016.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi menambah, ia lebih ketara disaksikan pada setiap pagi Ahad di mana ahli-ahli keluarga dan individu beramai-ramai memeriahkan Program Bandarku Ceria.

    Program ini, katanya, berhasrat bukan sahaja untuk mewujudkan gaya hidup sihat malahan membantu mengukuhkan institusi kekeluargaan dan memeriahkan lagi Bandar Seri Begawan serta menyediakan platform bagi pembangunan usahawan-usahawan baru di negara ini.

    “Perkara ini adalah satu perkembangan positif yang perlu kita pertingkatkan lagi,” ujarnya semasa menyampaikan mukadimah di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

    Antara aktiviti riadah yang dilakukan oleh warga tempatan setiap hujung minggu.
    Antara aktiviti riadah yang dilakukan oleh warga tempatan setiap hujung minggu.

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa Bandarku Ceria adalah satu contoh baik di mana pendekatan secara ‘whole of nation’ bahkan ‘whole of society’ adalah lebih berkesan dan mapan.

    Katanya, pihak kerajaan hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara manakala individu, persatuan dan kumpulan-kumpulan yang berkenaan adalah peneraju sebenar dalam memastikan Bandarku Ceria sentiasa hidup dan meriah di setiap hari Ahad.

    Apa yang lebih menggembirakan lagi, tambah beliau, sudah ada kedengaran permintaan orang ramai bagi Program Bandarku Ceria ini dilaratkan lagi ke setiap daerah di negara ini.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato berkata, kementeriannya menyambut baik langkah Kementerian Kewangan dalam mengenakan cukai eksais ke atas produk-produk makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan Monosodium Glutamate (MSG) bagi mengawal penggunaannya dan meningkatkan budaya hidup sihat.

    Beliau menjelaskan, pengenaan cukai ke atas makanan dan minuman yang manis adalah satu intervensi yang telah terbukti sepertimana jua yang telah dapat dilihat di Mexico dan California, Amerika Syarikat di mana penaikan kadar cukai ke atas minuman manis telah menunjukkan penurunan pembelian minuman manis dan pada masa yang sama pembelian air botol pula telah meningkat.

    Beliau melahirkan harapan agar perubahan tabiat yang lebih cenderung kepada meminum air kosong akan dapat dilihat di negara ini.

    Di samping giat bersenam, mengambil berat terhadap pemakanan dengan cuba merealisasikan impian untuk melihat restoran-restoran mahupun majlis kenduri menghidangkan juadah atau menu pilihan sihat dengan memperbanyakkan pilihan sayuran dan buah-buahan berbanding yang lain masih belum tercapai.

    “Kita masih mempunyai cabaran dalam mengubah persepsi masyarakat bahawa makanan sihat adalah lebih mahal dan tidak mudah diperolehi. Jika impian ini menjadi kenyataan, sudah setentunya generasi kitani, aset negara yang paling utama, akan dapat hidup dengan sihat dan sejahtera,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda