Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perayaan Gawai kekalkan identiti masyarakat Dayak 

    SIBU, 30 Mei – Hari Gawai Dayak, satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Dayak Sarawak bagi menandakan tamatnya musim menuai dan bermulanya musim penanaman padi yang baharu.

    Ia juga diraikan sebagai tanda kesyukuran kepada ‘Petara’ atau Tuhan di atas limpahan rezeki hasil tuaian dan juga memastikan semangat padi yang berterusan bagi hasilan yang lebih baik pada masa depan.

    Kini sebilangan besar daripada masyarakat Dayak tidak lagi menanam padi sahaja, sebaliknya berkecimpung dalam bidang lain dan tidak kurang yang bekerja di sektor awam dan swasta.

    Namun di sebalik lebih ramai yang ‘menuai’ beras di pasar raya mahupun tidak berpegang dengan anutan lama selepas memeluk agama lain, namun sambutan Hari Gawai Dayak masih diteruskan dengan meriah.

    “Dahulunya Gawai Dayak diraikan sebagai tanda kesyukuran kepada ‘Petara’ atau Tuhan di atas limpahan rezeki hasil tuaian padi. “Kini keadaan berbeza. Tidak ramai yang tanam padi dan ramai yang sudah memeluk agama lain. Hari Gawai terus disambut bagi meraikan dan mengekalkan identiti masyarakat Dayak yang dikenali di seluruh dunia,” kata penjawat awam Bejau Japang.

    Bagi Bejau yang berbangsa Iban, sekiranya masyarakat Dayak tidak lagi menyambut perayaan tersebut yang ditetapkan pada 1 Jun setiap tahun, mereka mungkin akan kehilangan warisan kebudayaan dan kesenian yang telah diturunkan oleh nenek moyang mereka sejak zaman berzaman.

    “Kita mungkin hilang tarian ngajat, pakaian tradisional, kesenian menenun pua kumbu dan manik serta alat-alat muzik sekiranya tidak menyambut Hari Gawai Dayak. Lama kelamaan perkara sebegini dilupakan dan identiti masyarakat Dayak itu hilang dan yang mungkin tinggal hanya nama Dayak itu sendiri.

    “Dari aspek keagamaan, sambutan Gawai berbeza dari satu kelompok keluarga ke satu kelompok keluarga yang lain namun tujuannya satu iaitu bersyukur atas rezeki yang diperoleh dalam tahun itu di samping mendoakan rezeki yang bertambah dan tahap kesihatan yang sentiasa baik,” katanya. Beliau percaya, masyarakat Dayak yang masih bertani dan berpegang kepada anutan tradisional, akan terus berusaha mengekalkan dengan teguh sebahagian besar warisan yang dipegang mereka selama ini demi kesinambungan identiti mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda