Perbadanan TAIB hargai kakitangan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sebagai tanda penghargaan kepada para pegawai dan kakitangannya atas komitmen dan kerja keras mereka, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah mengadakan majlis makan malam tahunan di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang juga diadakan untuk meraikan ulang tahun penubuhan TAIB ke-29 itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, ahli-ahli Lembaga Pengarah TAIB dan Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, pengarah urusan TAIB dan anak syarikatnya, warga pengurusan dan pegawai serta kakitangan Perbadanan TAIB.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dalam ucapannya pada majlis itu telah memberikan kata-kata semangat dan inspirasi agar para pegawai terus bekerjasama dan memberikan perkhidmatan dan menyediakan produk perbankan yang berkualiti.

Beliau juga berharap semua usaha menjadikan Perbadanan TAIB bukan hanya ‘institusi kewangan pilihan’ untuk orang ramai, tetapi juga ‘institusi kewangan pilihan’ untuk bekerja, yang mengatakan para pegawai dan kakitangannya adalah unsur utama dalam kejayaan TAIB.

Acara kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah perkhidmatan lama kepada 45 kakitangan yang telah berkhidmat selama 25, 20, 15, 10 dan lima tahun.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan anugerah perkhidmatan lama kepada salah seorang kakitangan TAIB.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bersama jamputan lain semasa majlis makan malam tahunan di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, malam tadi.